Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim sepatutnya merujuk
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,
bukannya 'pandai-pandai' membuat sebarang kenyataan berhubung status
rundingan kerusi, yang belum disepakati sehingga kini.
Itu penegasan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier
Jayakumar, sekaligus menolak dakwaan Izham bahawa baki enam kerusi yang
masih dipertikai gagasan itu akan diambil alih Majlis Setiausaha PH.
"Izham ini, saya tidak tahulah, dia sepatutnya kena buat rundingan
dengan Pengerusi sebelum buat kenyataan. Pandai-pandai sangat buat
kenyataan Izham ini.
"Tidak ada, masih Pengerusi Negeri akan selesaikan dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Izham dilaporkan berkata, Majlis Setiausaha PH akan mengambil alih enam
kerusi di Selangor yang gagal dimuktamadkan dalam rundingan agihan
kerusi, meskipun tarikh akhirnya telah dilanjutkan beberapa kali.
Beliau memaklumkan, enam DUN Selangor berkenaan ialah Lembah Jaya, Seri
Serdang, Sungai Burung, Sungai Panjang, Kota Damansara dengan Dusun
Tua.
Mengulas lanjut Xavier berkata, baki enam kerusi yang menjadi tuntutan
keempat-empat parti komponen itu bakal diselesaikan di peringkat negeri
terlebih dahulu, dalam masa terdekat.
"Apa yang saya tahu, kita akan buat satu mesyuarat dan Pengerusi Negeri
akan selesaikan kerusi-kerusi ini dalam tempoh beberapa minggu yang
akan datang," ujarnya.
Tindakan Izham yang sering menjadi 'orang pertama' dengan bertindak
mendedahkan status rundingan kerusi negeri itu, bukan perkara baru.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehudin Amiruddin kesal
dengan tindakan Izham yang mengumumkan status rundingan kerusi di
negeri itu.
Sebelum ini Izham mendedahkan, PKR akan bertanding sekurang-kurangnya
19 kerusi daripada 56 kerusi di Selangor, manakala Amanah dan PPBM
masing-masing hanya mendapat sembilan dan tujuh kerusi.
Manakala, DAP pula akan bertanding di semua 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU 2013.
Tampil membidas Izham, Sallehudin menyifatkan tindakan pengerusi Amanah
Selangor itu mendedahkan rundingan kepada media sebagai tidak
menghormati PH di Selangor.
PH Selangor diterajui Azmin yang Menteri Besar, diberi tempoh
selewat-lewatnya sehingga Isnin (26 Februari) lepas untuk memuktamadkan
pertindihan tuntutan kerusi sesama empat parti komponen di negeri itu
sebelum diambil alih PH Pusat.
Namun, masih gagal memuktamadkan pada tarikh yang ditetapkan.
Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 kerusi DUN, di mana PKR mempunyai 13
kerusi, DAP 14 kerusi dan Amanah dua kerusi. PAS mempunyai 13 kerusi,
manakala Umno 12 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan