Sabtu, 21 April 2018

Pas Selangor rasa selamat dengan persempadanan semula


Pas Selangor rasa selamat dengan persempadanan semula



Ketika rata-rata penganalisis politik menganggap persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk PRU-14 ini memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), lain pula reaksinya bagi pemimpin Pas Selangor.

Pesuruhjaya Pas negeri, Sallehin Mukhyi berkata, pihaknya yakin walaupun dengan persempadanan baharu itu mereka mampu menarik lebih banyak sokongan dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa parti itu.

“Pas mampu menang di beberapa kerusi Parlimen seperti Sungai Besar, Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

Bagaimanapun, dari sudut negatif, ujarnya, Pas berdepan masalah apabila jumlah pengundi Melayu di beberapa kawasan dikurangkan.

Menurut penyandang Adun Sabak itu, partinya telah menyusun strategi dengan memasuki kawasan pengundi bukan Melayu terutama yang ditandingi DAP dan MCA.

“Antaranya Sungai Pelek, Sekinchan, Balakong, Teratai dan Kuala Kubu Baharu dengan meletakkan calon Melayu bagi menarik pengundi Melayu.

“Kesemua kawasan ini mempunyai pengundi Melayu 30 peratus dan ke atas,” katanya.

Pas Selangor masih yakin menang walau dengan persempadanan semula.

Untuk rekod, syor persempadanan semula oleh SPR yang diluluskan pada 28 Mac lalu menyaksikan Selangor paling terkesan apabila 18 daripada 22 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) berubah.

Bagi Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula, partinya mendapat kelebihan untuk mengekalkan kemenangan dan menyelamatkan beberapa kerusi kritikal dengan persempadanan baharu di negeri itu.

“Awalnya ada kebimbangan di kerusi (Dun) Chempaka (kini N.21 Pandan Indah) disebabkan jumlah pengundi Melayu 53 peratus tapi selepas persempadanan semula, angka pengundi Melayu meningkat kepada 62.69 peratus,” katanya.

Jelasnya lagi, pertambahan pengundi Melayu di Dun Seri Serdang (N.29) daripada hanya 45 peratus kepada 59.74 peratus membantu kemenangan Pas.

Pada PRU-14 ini, Pas Selangor muktamad untuk bertanding di 20 daripada 22 Parlimen dan 47 daripada 56 Dun di negeri itu.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 126 kerusi Parlimen dan 323 Dun setakat ini belum termasuk Kelantan, Sabah dan Sarawak yang akan ditandingi Pas pada PRU-14.

Keputusan Pas Selangor bertanding di lebih 83 peratus kerusi Parlimen dan Dun itu menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru di negeri yang dua penggal terlepas dari tangan BN.

Selangor pada masa ini mempunyai 14 kerusi Dun DAP, PKR dan Pas masing-masing 13 kerusi, BN (12), AMANAH (2) dan dua lagi Bebas.

Bagi kedudukan semasa Parlimen, PKR mempunyai 9 kerusi, diikuti BN (5), DAP (4) manakala AMANAH (3) dan Pas hanya satu kerusi

Tiada ulasan: