Ahad, 15 April 2018

PAS pilih Radhi Mat Din cabar Mahfuz di Pokok Sena

Sitifatimah


Pertaruh ahli farmasi sebagai calon baharu di Parlimen Kuala Kedah




ALOR SETAR – PAS memilih bekas pemain bola sepak kebangsaan, Radhi Mat Din mewakili parti itu bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pencalonan itu diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada program ceramah Gelombang Hijau Kedah PRU14, di Markas PAS Cawangan Alor Ibus, Alor Setar, malam tadi.

Radhi dijangka bertembung dengan Datuk Mahfuz Omar yang mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena di atas tiket Parti Amanah Negara (PAN), dan calon Barisan Nasional. 

Mahfuz adalah bekas Naib Presiden PAS, telah meninggalkan parti itu pada 31 Disember lepas.

Pada PRU13, Mahfuz yang ketika itu menggunakan tiket PAS, memperoleh 34,657 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi.

Parlimen Pokok Sena agak panas kerana ia sering bertukar tangan antara PAS dan Barisan Nasional setiap kali pilihan raya umum (PRU), namun kali ini dijangka lebih panas kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

Selain Radhi, PAS turut mempertaruhkan seorang lagi muka baru yang merupakan seorang ahli farmasi, untuk Parlimen Kuala Kedah, iaitu Muhamad Riduan Mohd Othman.

Manakala, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi diumumkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur.


Tiada ulasan: