Sabtu, 21 April 2018

PAS: Kenderaan baik, laju antara sumber bahagia manusia

MALAYSIAKINI

   

PRU14 | Selaras dengan saranan hadis, salah seorang pemimpin kanan PAS berkata jika parti itu mendapat mandat mereka mampu menyelesaikan masalah pemilikan kenderaan rakyat Malaysia.

Kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali memperoleh kenderaan yang baik dan laju adalah hak rakyat kerana ia adalah keperluan untuk seseorang bergerak ke sesuatu lokasi.

Memetik sebuah hadis yang menyebut mengenai salah satu sumber kebahagiaan seseorang ialah memiliki kenderaan laju, harakahdaily melaporkan, Khairuddin juga menjelaskan kenderaan laju boleh menjimatkan masa bagi sesuatu perjalanan.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata antara penghalang anak muda mendapatkan kenderaan ketika ini ialah duti eksais yang dikenakan ke atas semua jenis kereta, sama ada import atau tempatan.

Justeru kata penyandang kerusi parlimen Kuala Nerus itu PAS melalui Gagasan Sejahtera menawarkan pelepasan atau rebat bagi duti eksais bagi penduduk yang tergolong dalam kategori B40.

“Mereka yang berpendapatan rendah ini, yang nak beli kereta untuk kali yang pertama iaitu kereta 1.3cc ke bawah (akan diberikan pelepasan)," katanya.

Anak muda ada peluang

PAS melancarkan manifestonya pada 18 Mac lalu bagi menghadapi PRU ke-14 tidak lama lagi.

Ada banyak perkara disentuh oleh parti berkenaan sebagai tawaran mereka bagi mendapatkan mandat menjadi kerajaan - atau sekurang-kurangnya menjadi kingmaker untuk Malaysia.

Melalui gagasan Malaysia Sejahtera itu PAS mencadangkan duti eksais bagi pembelian kenderaan pertama yang menggunakan enjin di bawah 1.3cc dikecualikan.

Untuk itu PAS menawarkan skim pinjaman tanpa faedah (qardul hasan) bagi membantu pembeli terbabit.

Namun untuk rekod cadangan mengecualikan duti eksais untuk kenderaan berenjin di bawah 1.3cc turut ditawarkan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN).




Kata Khairuddin PAS memberi peluang kepada anak-anak muda terutamanya lepasan universiti memiliki kenderaan tanpa perlu membayar harga yang terlalu tinggi.

Tambahnya, sesebuah kerajaan mesti membantu rakyat bagi mendapatkan keperluan mereka seperti kediaman dan kenderaan.

“Hari ini rakyat tiada pilihan. Mereka terpaksa membuat pinjaman di bank walaupun mereka tidak mempunyai pendapatan yang besar dan (dengan itu) tentulah mereka terpaksa membayar untung kepada perbankan yang sedia ada.

"Tetapi untuk kita bantu B40 kita tawarkan konsep pembiayaan qardul hasan," katanya.


Tiada ulasan: