Sabtu, 21 April 2018

Parlimen Bagan Datuk dijangka saksi pertandingan 4 penjuru

MALAYSIAKINI

   

PRU14 l Persaingan bagi merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada Barisan Nasional (BN) dijangka sengit apabila bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Sehingga kini, seorang calon Bebas iaitu Raja Bomoh atau nama sebenarnya Datuk Ibrahim Mat Zin, 68, telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding di Parlimen itu dalam satu sidang media di Ipoh, 17 April lalu.

Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia itu akan bertanding di tempat kelahirannya bagi menunaikan hasrat penyokongnya 10 tahun lalu untuk menjadi wakil rakyat sekali gus membela nasib rakyat.

Malah di pihak Pakatan Harapan sudah mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang akan diwakili calon PKR yang akan diumumkan namanya dalam masa terdekat.

Blok ketiga pembangkang, Gagasan Sejahtera pula mengumumkan ketua penerangan PAS di Bagan Datuk, Ata Abdul Muneim Hasan Adli sebagai calon bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Gagasan Sejahtera ialah gabungan parti-parti pembangkang terdiri daripada PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga kini, BN masih belum mengumumkan calon di kawasan itu yang disandang Ahmad Zahid selaku timbalan perdana menteri yang menang dengan majoriti 2,108 undi pada pertemuan satu lawan satu dalam pilihan raya umum Ke-13. Beliau mendapat 17,176 undi menewaskan calon PKR Mahdi Hasan 15,068 undi.

Ahmad Zahid sudah lima penggal menjadi anggota Parlimen Bagan Datuk sejak memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 1995.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.- Bernama


Tiada ulasan: