Rabu, 11 April 2018

PAN BANTAH KHAIRUDDIN BERTANDING DI PAYA JARAS


Sedang rakyat Malaysia menanti penuh debaran tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan, Pakatan Harapan (PH) di Selangor mula goyah dan berantakan sesama sendiri.

Ini susulan isu perebutan dan pembahagian kerusi masih menjadi perkara utama yang belum dapat diselesaikan sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati Parti Amanah Negara (PAN).

Paling baharu isu kerusi DUN Paya Jaras yang menjadi rebutan antara PAN dan PKR susulan penghijrahan bekas Ketua Penerangan PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman menyertai PKR dan mengesahkan mempertahankan DUN tersebut.

Lantaran itu, amaran kata dua diberikan oleh Yang Dipertua Parti Amanah Negara (PAN) Sungai Buloh, Mohd. Habib Al Intani kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak meletakkan Khairuddin yang baharu bertukar parti menyertai PKR bertanding di DUN Paya Jaras.

“Kami berang dengan tindakan Timbalan Presiden PKR yang juga merangkap MB Selangor untuk kekalkan Khairuddin yang baru melompat dari PAS ke partinya malam tadi.

“Ini adalah satu tindakan tidak bermaruah dan tidak setiakawan oleh PKR kerana sebelum ini telah pun disepakati dalam perbincangan peringkat negeri bahawa DUN Paya Jaras ini diperuntukkan untuk parti kami dan bukannya untuk PKR,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau menjelaskan, akar umbi PAN Sungai Buloh kesal dengan tindakan Azmin yang bakal meletakkan Khairuddin bertanding DUN itu dan mengugut akan memboikot kempen PH di Paya Jaras.

“Jangan letak Khairuddin Othman sebagai calon PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras atau berdepan sabotaj daripada akar umbi Parti Amanah Negara (PAN),” tegasnya.

Mohd. Habib juga menjelaskan, PAN telah lama menggerakkan jentera di kawasan itu bagi memenangkan parti pimpinan Mohamad Sabu dan telah mempunyai calon terbaik bagi kerusi terbabit.

“Disuruh menggunakan logo PKR untuk PRU kali ini, kami juga terima kini kerusi yang sudah pun dijanjikan kepada kami, yang telah kami berusaha bersungguh-sungguh menawannya pula mahu diserah kepada si pelompat yang hanya melompat setelah tidak dicalonkan lagi oleh parti lamanya.

“Jika ini bukan tindakan pengkhianatan oleh PKR, apa lagi mahu disebut?

“Justeru kami ahli akar umbi PAN dengan ini bertegas dan menolak dengan keras kempen Kekal Khairuddin,” katanya.


Tiada ulasan: