Ahad, 1 April 2018

Mana geran tanah kami, Datuk Johari?

Muhammad Azizul Osman
Penduduk, Mohamad Saffar Othman, 79 (kanan) bersama sebahagian penduduk kampung menunjukkan pelan tanah yang penah dijanjikan untuk mendapatkan geran oleh Adun Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain semasa ditemubual di Kampung Jawa, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK
 

ROMPIN – Sejumlah 400 penduduk di Kampung Jawa mendesak agar Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohamad Johari Hussain agar menunaikan janji untuk mendapatkan geran tanah kepada mereka.

Menurut Mohamad Saffar Othman, 79, janji untuk meluluskan geran itu ditabur sejak Pilihan Raya Umum ke 11 (PRU-11) lagi namun sehingga kini ianya hanya tinggal janji.

“Setiap kali PRU, dia akan janji nak beri geran tanah yang kami duduk, tapi akhirnya hampa. Dia datang dengan janji akan selesaikan permohonan geran tanah kami penduduk Kampung Jawa ini, tapi sampai sekarang tidak selesai,” katanya ketika ditemui semalam.

Tanah seluas 265 ekar itu mula diteroka sejak tahun 1979 oleh generasi pertama yang terdiri daripada 24 orang peneroka.

“Banyak kali kami sudah suarakan isu ini kepada Johari, tapi isu ini seakan senyap sahaja. Kita memang sayang kalau hilang kerusi ini kepada pembangkang tetapi kami lantik dia sebagai wakil rakyat untuk selesaikan masalah rakyat.

“Tapi wakil rakyat tidak sayang kita dan gagal selesaikan masalah rakyat, takkan kita nak dia jadi wakil rakyat Tioman lagi,” kata Abdul Rahim Hanafiah, 69, yang turut merupakan peneroka pertama Kampung Jawa.

Seorang lagi peneroka, Raslee Adnan, 59, juga mendakwa keyakinan orang kampung sudah semakin tipis sekiranya dia masih belum dapat diselesaikan.

“Kami tidak akan sokong beliau sebagai calon PRU-14. Kami sepakat untuk menolak beliau kerana gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi kami selama 47 tahun,” tambahnya.

Isu mengenai kredibiliti Johari mula dipertikaikan sejak minggu lalu apabila pengundi mula memberontak terhadap beliau.

Antaranya tersebar protes menerusi kain rentang yang menolak Johari.



Sementara itu menurut Abdul Jabar Muhamad, 49, beliau mengharapkan agar isu yang ditepati penduduk kampung mereka dapat diselesaikan segera sekiranya beliau ingin terus menjadi wakil rakyat di DUN Tioman.

“Kami nak orang baru sebagai calon di Tioman, itu sahaja. Yang prihatin dan boleh kerja untuk pengundi. Kalau pilih orang baru, kami mahu lihat visi dia terhadap masalah kami.

“Saya menaruh harapan agar dia selesaikan masalah kami, namun kami mahu calon baru yang boleh selesaikan isu tanah dan masalah lain di DUN Tioman,” katanya.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Hasan Ariffin berkata keputusan untuk mencalonkan semula Johari adalah kuasa mutlak presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

Ujarnya, Najib semestinya mempunyai maklumat yang tepat mengenai senarai calon yang akan dilantik mewakili Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi berkenan pada PRU-14 tidak lama lagi. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: