BELAGA: Kerajaan meluluskan peruntukan RM76 juta untuk memberikan tanah
seluas 1.21 hektar kepada setiap penduduk yang terlibat dengan program
penempatan semula di Bakun susulan pembangunan Stesen Janakuasa Elektrik
Hidro Empangan Bakun.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau juga
meluluskan peruntukan RM9 juta bagi membina jalan-jalan ladang di
kawasan berkenaan, khusus untuk kemudahan mereka.
Beliau berkata dengan pemberian tanah serta penyediaan rangkaian jalan
ini, diharapkan ia dapat membantu menambah sumber rezeki mereka yang
terlibat, dan membangunkan pertumbuhan ekonomi setempat dengan lebih
pesat.
"Stesen janakuasa ini kita berikan kembali kepada Sarawak kerana saya
lihat ia munasabah, kerana ia dapat menyumbang kepada pembangunan
ekonomi negeri, " katanya semasa berucap di majlis penyerahan stesen
janakuasa elektrik hidro Bakun, di sini hari ini.
Pengurusan stesen janakuasa ini diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan
negeri Sarawak susulan pembelian saham 100 peratus Sarawak Hidro Sdn Bhd
(SHSB) milik Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
oleh Sarawak Energy Bhd dengan nilai RM2.5 bilion, pertengahan Ogos
lepas.
Najib berkata beliau juga melihat keperluan tenaga di Sarawak kini
telah melonjak kepada 3,500MW berbanding sekitar tahun 2009, ekoran
pembangunan ekonomi yang pesat di negeri ini.
Menurutnya dengan pemilikan stesen janakuasa ini, ia bukan sahaja boleh
menawarkan tarif elektrik yang rendah untuk rakyat tempatan, malah
berjaya menarik ketibaan pelabur dengan lebih rancak.
"Banyak industri menggunakan tenaga yang tinggi, mereka akan memilih
untuk melabur di Sarawak ini. Sebagai perbandingan kos elektrik di
Sarawak adalah terendah, yakni 28.2 sen kwj (kilowatt-jam) berbanding
39.45sen kwj di Semenanjung dan 34.5 sen di Sabah, " katanya.
"Jadi Sarawaklah yang dapat manfaat daripada tarif elektrik yang
terendah, sebab itu banyak syarikat yang guna tenaga tinggi seperti
kilang-kilang yang membuat aluminuam dan sebagainya memilih untuk
melabur di SCORE (Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak), " tambahnya.
Najib berkata beliau turut berbangga dengan pembinaan stesen janakuasa
eletrik hidro di Sarawak kerana ia selaras dengan usaha dan komitmen
negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG)
daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus
sebagaimana yang diumumkan beliau pada Persidangan Paris.
Perdana Menteri berkata projek ini juga memperlihatkan kerjasama yang
erat antara kerajaan pusat dan negeri berlandaskan kepada situasi
menang-menang , di mana kerajaan pusat memperoleh sumber kewangan
daripada aset ini, manakala Sarawak memperoleh projek mega untuk
membangunkan negeri.
Beliau seterusnya meminta seluruh penduduk di Bumi Kenyalang ini supaya
menolak pembangkang di Sarawak, dengan merujuk kepada kata-kata
pemimpin mereka yang pernah memimpin negara selama 22 tahun sebelum ini,
yang mendakwa orang Sarawak pemalas, tamak dan lembap.
Kalau saya setuju dengan kata-kata ini, saya tidak akan serahkan
empangan Bakun ini untuk diuruskan oleh orang Sarawak, katanya.
Katanya tiga cara bagaimana rakyat Sarawak boleh membuktikan kehebatan
meraka dan menolak tohmahan itu adalah dengan cara menguruskan Bakun
dengan cemerlang, membangunkan Sarawak dengan pesat dan menolak
pembangkang yang diketuai pemimpin yang mencemuh orang Sarawak.
Turut hadir di majlis hari ini ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk
Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah
Embas serta Tan Sri James Jemut Masing, Pengerusi Sarawak Energy Bhd
(SEB) Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB
Sharbini Suhaili.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan