Isnin, 23 April 2018

Husam umum pegawai kanan PMBK, tokoh wanita Kelantan sebagai calon PH



Husam perkenalkan Dr Hafidzah paling kanan dan Sanusi tiga dari kiri oada sidang media di Kota Bharu.

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Haji Sanusi Othman dan Tokoh Wanita Kelantan 2015, Dr Hafidzah Mustakim diisytiharkan akan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Kelantan.

Pengerusi PH negeri, Husam Musa berkata, dua tokoh berkenaan diperkenalkan untuk rakyat menilai kesungguhan membentuk sebuah kerajaan baharu yang berkeupayaan dan berintegriti.

“Saudara Sanusi selaku pegawai tinggi yang begitu rapat dengan kerajaan mempunyai maklumat yang cukup bagi beliau membuat pilihan.

“Dengan keputusan menyertai PH jelaslah bagi beliau kerajaan yang ada sekarang tidak lagi “valid” (mampu) untuk memberi khidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang media khas di Kota Bharu tengah hari tadi.

Haji Sanusi merupakan pegawai kanan kerajaan negeri yang pernah bertugas sebagai Ketua Eksekutif Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) sebelum berpindah menjadi pasukan peneraju PMBK.

“Beliau merupakan adik kepada arwah Ustaz Yahya Othman, Exco kerajaan negeri yang merupakan Adun Pas Banggol Judah yang kemudian bertukar nama kepada Kemuning.

Haji Sanusi Othman

“Dalam Pas Ustaz Yahya cukup terkenal kepada seluruh ahlinya kerana beliau merupakan salah seorang Murabbi (Tokoh Tarbiyah) yang diiktiraf,” katanya.

Sanusi, yang merupakan lulusan jurutera elektrik ketika memperkenalkan diri berkata, beliau
terpanggil untuk menyertai PH bagi membentuk sebuah kerajaan baharu yang berintegriti.

“Kepandaian mungkin boleh dicari dari manapun, tapi integriti tidak boleh dibuat-buat.

“Saya penuh keyakinan dengan kepimpinan PH untuk membentuk sebuah kerajaan baharu yang lebih berintegriti berbanding kerajaan sekarang,” katanya.

Husam kemudian memperkenalkan Dr. Hafidzah yang menurutnya seorang yang diiktiraf sebagai tokoh kebajikan dan kemajuan masyarakat.

“Anugerah tokoh wanita yang diperolehi Dr. Hafidzah dianugerahkan kerajaan Kelantan sendiri.

“Tentulah beliau ada keistimewaan besar yang membantu rakyat membina masa hadapan yang cemerlang,” katanya.

Menurut sumber, Sanusi dikatakan akan bertanding di Bunut Payong manakala Hafidzah di Tanjong Mas.

Tiada ulasan: