Jumaat, 6 April 2018

DAP MAHU GUNA LOGO ROKET

Foto Syakirin Daud@watan-Online

DAP seolah-olah tidak merelakan logo roket untuk diganti dengan satu logo bersama bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) daam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui keputusan untuk tidak menggunakan lambang roket yang sudah menjadi logo rasmi DAP itu merupakan satu keputusan yang sukar berikutan parti tidak pernah menggunakan logo lain dalam PRU sebelum ini.

“DAP selama ini menggunakan logo sendiri. Jadi bukan mudah untuk mencapai persetujuan ini tetapi parti DAP telah bersetuju untuk menggunapakai satu logo umum yang mewakili semua parti komponen PH.

“Keputusan ini dibuat atas kesedaran bahawa kami (PH) bukan sahaja memerlukan pertandingan satu lawan satu dengan UMNO-BN tetapi juga satu logo bersama,” ujar beliau dalam satu sidang media di Bangunan Parlimen pada Khamis selepas Parlimen ditangguh sehingga ke tarikh yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan itu berkata keputusan satu logo itu walaubagaimanapun tidak akan terpakai di Sabah dan Sarawak.

“Keputusan menggunakan logo bersama itu hanya akan digunakan di Semenanjung kerana kita menghormati kuasa autonomi yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

“Jadi logo roket yang mewakili DAP tetap akan digunakan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, logo bersama yang akan digunakan PH untuk bertanding dalam PRU-14 akan diumumkan oleh Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Johor pada Jumaat.


Tiada ulasan: