SITIAWAN: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut,
manakala rakan sejawatannya parah selepas kereta mereka naiki dirempuh
sebuah lagi kereta dalam kemalangan di Kilometer 28 Jalan Teluk Intan -
Sitiawan, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada jam 6.10 petang itu, pemandu kereta jenis PERODUA
Myvi, Laskar Muda Mohd Naqib Mohd Nasir, 24 maut di lokasi kejadian,
manakala penumpangnya, Laskar Muda Mohd Firdaus Zackariah, 24 parah.
Pemandu kereta jenis NISSAN Almera berusia 65 tahun bagaimanapun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah,
berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Myvi dinaiki
anggota tentera yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut itu dalam
perjalanan dari Teluk Intan menghala ke Sitiawan.
Katanya, pemandu kereta Almera pula dalam perjalanan dari tempat kerja di Sitiawan untuk pulang ke rumahnya di Hutan Melintang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Myvi berkenaan dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Almera.
"Akibat kemalangan itu, pemandu Myvi disahkan maut di lokasi kejadian
manakala penumpangnya parah," katanya ketika dihubungi di sini, hari
ini.
Mohamad Zainal berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital
Changkat Melintang untuk bedah siasat pada jam 11 malam ini.
"Penumpang kereta berkenaan dalam keadaan kritikal dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati jalan di lokasi kejadian
lurus dan garisan putus-putus serta cuaca dalam keadaan baik.
Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan