SANDAKAN: Amanah Sabah menyatakan kekecewaannya apabila partinya tidak
diberikan waima satu kerusi di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Pengerusinya, Hamzah Abdullah menyatakan kekecewaannya tanpa
berselindung di hadapan Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal dan
Pengerusi PKR Sabah Christina Liew serta pengerusi DAP negeri itu,
Stephen Wong ketika majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan (PH), di
sini, semalam.
Ujar Hamzah tiada gunanya berjuang tentang kesaksamaan di bawah
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika Amanah Sabah tidak dilayan sama
rata.
"Kalau rakan sama rata takkan lah Amanah tak dapat kerusi langsung. Takkan tak dapat dua kerusi. Semua kena dapat.
"Kalau Amanah langsung tak diberikan. Anda mempermain-mainkan
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), anda tidak mengamalkan MA63," katanya
dihadapan hadirin yang hadir pada majlis berkenaan.
Hamzah bertegas, partinya tetap akan berpegang pada keputusan rundingan
dalaman PH yang awal bahawa parti itu akan bertanding di dua Parlimen
dan dua kerusi DUN Sabah.
"Kita cuma harap tiada pertembungan PH dengan WARISAN," katanya lagi.
Dalam ucapannya lagi yang kelihatan seolah menyindir Presiden Warisan,
Hamzah berkata pengundi akan kecewa jika memilih pemimpin bekas menteri
yang punya wang.
Beliau turut bertegas pemimpin Amanah akan tetap berjuang melawan Umno.
Shafie merupakan bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah dan naib presiden Umno.
Beliau menubuhkan Warisan selepas keluar Umno pada 2016, setahun selepas digugurkan daripada kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan