ALOR SETAR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan terdapat usaha
menghadkan kuasa Majlis Syura Ulama oleh pihak tidak bertanggungjawab
yang kini memimpin Amanah beberapa tahun lalu bagi memperkukuhkan
kerjasama dengan DAP.
Presiden PAS itu berkata, pihaknya mendapati golongan terbabit cuba
melakukan pindaan perlembagaan parti melalui sebuah jawatankuasa yang
bernaung di bawah Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi (LUHAM) Pas.
“Tindakan mereka dikesan dan mendapati ia sama sekali bercanggah dan
mencabuli Perlembagaan parti bahawa Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa
tertinggi yang boleh membatalkan sesuatu keputusan yang diputuskan di
peringkat Pusat.
“Mereka ini cuba menyentuh satu dasar yang dipegang PAS sejak sekian
lama bagi membolehkan kerjasama dengan DAP dapat diteruskan,” katanya
dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pokok
Sena di Kompleks PAS Pokok Sena di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin.
Menurutnya, kumpulan terbabit cuba membawa usul pindaan perlembagaan
berkenaan tetapi usul tersebut ditolak sebelum Muktamar PAS 2015.
“Usul terbabit bertujuan menghadkan kuasa Majlis Syura Ulama dengan
hanya boleh menasihat, bukannya seperti sekarang iaitu membuat
keputusan. Malah cubaan mereka untuk memperoleh kuasa juga gagal apabila
kalah apabila ditolak perwakilan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Hadi turut memberitahu, calon PAS untuk
Pilihan Raya Umum ke-14 bagi seluruh negara akan diumumkan serentak pada
19 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan