KOTA BHARU: Seramai 70 ahli Umno Gua Musang di DUN Nenggiri membuat
keputusan keluar parti dan menyertai PAS kerana mendakwa Umno dilihat
tidak mampu menjaga dan membela nasib keluarga mereka yang sering kali
dihimpit dengan pelbagai kesusahan.
Wakilnya, bekas pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
Persekutuan (JKKKP), Rawi Mohd Noor berkata, langkah tersebut diambil
kerana sudah terlalu bosan dengan Umno yang semakin hilang arah tuju
perjuangannya.
“Kami meletak harapan kepada parti Umno untuk membela nasib kami,
keluarga kami dan yang lebih utama untuk menjaga agama kami. Namun,
setelah puluhan tahun berlalu, Umno sudah tidak mampu lagi
memperjuangkan nasib orang Melayu Islam.
“Kami juga melihat BN semakin hilang hala tuju dan fokus asal
perjuangan iaitu demi membela bangsa Melayu,” katanya kepada media di
sini.
Beliau mewakili 70 ahli Umno DUN Nenggiri menyerahkan borang penyertaan
kepada Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, disaksikan
kepimpinan tertinggi PAS negeri dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin
Hassan.
Turut bersama Rawi ialah Ketua Wanita Umno Cawangan Setar Baru,
Khadijah Samat; Ketua Pemuda, Mohd Suhaimi Razali dan ahli
jawatankuasanya, Abdullah Samat.
Tambah Rawi, pemimpin Umno yang dilihat terus bermewah, boros dan tidak
mempedulikan nasib rakyat, malah berita tentang penangkapan seorang
Ketua Umno Bahagian di sebuah kelab malam cukup memalukan mereka sebagai
ahli parti itu.
Selain mereka, 30 ahli PKR Gua Musang diketuai Ketua Ranting PKR Ladang
SEDC, Wan Mohd Erman Wan Zulkifli dan Ketua Ranting PKR Kampung Baru
Setar, Hassan Idris turut menyerahkan borang keahlian kepada Pas, di
sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan