Sabtu, 17 Februari 2018

Trafik perlahan di lebuh raya utama

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Aliran trafik bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama petang ini berikutan pertambahan kenderaan menuju ke destinasi masing-masing.
 
Sehingga 4.15 petang, keadaan trafik yang perlahan dilaporkan di beberapa lokasi di kawasan utara, selatan dan pantai timur.
 
Jurucakap Plus Malaysia Berhad berkata trafik bergerak perlahan dari Seberang Jaya ke Perai, Bukit Tambun menuju ke Bandar Casia, Bandar Casia menghala ke Jawi dan Cangkat Jering menghala Bukit Berapit.
 
“Trafik turut perlahan dari Terowong Menora menghala ke Jelapang, Slim River menuju ke Bidor dan Simpang Pulai ke Tapah disebabkan peningkatan jumlah trafik yang tinggi.
 
“Selain itu, terdapat juga kemalangan kecil melibatkan kereta di KM152.3 dari Bukit Tambun ke Jawi. Bagaimanapun, tiada lorong terhalang di lokasi kejadian,” katanya dilapor sebuah agensi berita.
 
Di Selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat, Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Ayer Hitam menghala ke Yong Peng, Machap ke Simpang Renggam serta Kulai ke Simpang Renggam.
 
Bagi pantai timur pula, menurut  laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia, aliran trafik perlahan selepas Plaza Tol Gombak menuju ke Terowong  Genting Sempah manakala laluan di Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 masih terkawal dan lancar.
 
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik

Tiada ulasan: