LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan lima projek pembangunan infrastruktur di Langkawi menerusi
peruntukan Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11)
bernilai RM1.3 bilion.
Menurut Najib, Kerajaan Persekutuan meluluskan pembesaran Hospital
Langkawi melalui pembinaan bangunan tambahan dengan kos berjumlah RM500
juta.
"Hospital Langkawi hanya dapat menampung 110 katil pesakit pada masa
ini. Bangunan baharu akan dilengkapi 220 katil, ICU (unit rawatan rapi),
CCU (unit rawatan jantung), HDW (unit pergantungan tinggi), pelbagai
disiplin wad dan enam dewan pembedahan, klinik pakar dan jabatan
rehabilitasi.
"Projek ini juga menyediakan kemudahan 'full paying patient' bagi
memenuhi permintaan pelancongan kesihatan di Pulau Langkawi," katanya
selepas berucap melancarkan program GO 4.0 Langkawi, di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah;
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Menteri Pendidikan,
Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Shahidan Kassim dan Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul
Kader.
Najib yang dilaporkan Utusan Malaysia berkata, pihaknya turut
memperuntukkan RM135 juta untuk pembinaan kuarters dan integrasi daerah
yang baharu bagi menjaga kebajikan para petugas kesihatan seperti
doktor, jururawat dan kakitangan hospital.
Di bawah RP3 juga, ujarnya, kerajaan juga telah meluluskan pembinaan
balai bomba dan penyelamat serta kuarters Padang Matsirat, di sini
dengan kos RM30 juta.
Kata Najib, Jalan Persekutuan Bulatan Airport - Pulapol (pusat latihan polis) akan dinaik taraf dengan kos RM50 juta.
"Akhir sekali saya mendengar masalah bekalan air bersih di Langkawi yang mendesak menjelang tahun-tahun akan datang.
"Bagi menjamin kesejahteraan rakyat tempatan dan pelancong di Langkawi,
UPU (Unit Perancang Ekonomi) telah meluluskan peruntukan RM600 juta
untuk pembinaan Off-River Storage (ORS) Padang Matsirat, yang mampu
mengatasi masalah kekurangan air di Langkawi sehingga 2040," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan