Khamis, 8 Februari 2018

TPM Sindir PH ‘Bangga’ Sebar Berita Palsu


TPM Sindir PH 'Bangga' Sebar Berita Palsu

MYNEWSHUB

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyindir Pakatan Harapan yang bimbang dengan penggubalan undang-un­dang baharu bagi mengekang penularan berita palsu oleh kerajaan.

 

Lebih lucu apabila blok pembangkang yang didalangi DAP itu ujar beliau, membuat dakwaan pelik konon undang-undang tersebut adalah bertujuan untuk menutup ‘kebenaran’ daripada diketahui oleh rakyat negara ini pula.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri sebaliknya menegaskan bahawa penggubalan tersebut tidak sama sekali menutup sebarang laporan berita kebenaran untuk disebarluaskan kepada semua pihak.

“Apakah kebenaran (sebenarnya bagi Pakatan Harapan)? Apakah ‘kebenaran’ seperti diperkatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 melibatkan dakwaan 400,000 warga Bangladesh konon dibawa masuk ke negara ini?

“Apakah itu bukan berita palsu? Adakah itu ‘kebenaran’ yang akan dibawa sekali lagi oleh mereka? Akan ada berita-berita palsu pada saat-saat akhir sebagau strategi kempen… Saya sangat pasti,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Zahid terdahulu hadir Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menyampaikan Sistem Manual Pemprofilan Rekrutmen kepada Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan aneh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini yang ‘khuatir’ tentang cadangan undang-undang terhadap berita palsu dengan mengatakan ia undang-undang ‘baik’.

Bagaimanapun pemimpin berusia hampir satu abad yang pernah dikutuk pembangkang sebagai sebagai diktator itu mendakwa konon undang-undang baharu tersebut tidak boleh digunakan untuk menutup kebenaran.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk meningkatkan siasatan dan memenuhi aduan terhadap isu keraguan Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, langah itu hasil kebolehpercayaan terhadap ROS cukup tinggi kerana sifat ketelusan jabatan itu selama ini dalam melakukan siasatan terhadap pertubuhan dan badan politik yang menerima aduan dari ahli mereka sendiri.

Ditanya adakah siasatan tersebut boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu ekoran gesaan oleh ahli-ahli PPBM semalam yang sangsi dengan parti berkenaan, Ahmad Zahid berkata, isu itu diserahkan kepada pihak ROS sendiri.

Ini kerana sebagai menteri, beliau tidak terlibat dalam menentukan aktiviti pengoperasian ROS. Ahmad Zahid turut merujuk perhimpunan haram yang bakal diadakan oleh kira-kira 1,000 ahli PPBM di ibu pejabat ROS di sini.

Ia diadakan sebagai tanda protes namun beliau berkata, perkara itu bergantung kepada ahli-ahli parti serpihan tersebut tetapi pihak polis akan tetap hadir untuk memantau keadaan semasa. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tiada ulasan: