Khamis, 8 Februari 2018

PRU14: Tawan Negeri Sembilan tanggungjawab PKR, kata Anthony Loke

anthony-loke_pkr_600


PETALING JAYA: PKR ditugaskan untuk mengepalai kempen Pakatan Harapan (PH) merampas Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14, kata pengerusi DAP negeri Anthony Loke.

Ini bermakna PKR diberi tanggungjawab untuk memenangi lebih banyak kerusi daripada apa yang dimenangi parti itu pada PRU 2013.

“Negeri Sembilan antara negeri marginal dalam sasaran PH, dan saya yakin PKR boleh mempertahankan 3 kerusi negeri miliknya sekarang ini dan memenangi lebih banyak kerusi kerana parti itu diberi restu untuk mengepalai PH di Negeri Sembilan.”

PKR diberi 12 kerusi untuk bertanding di negeri itu, bilangan terbanyak berbanding parti komponen lain. DAP akan mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi mereka pada PRU lepas.

“Sekiranya Amanah dan PPBM boleh menyumbang beberapa lagi kerusi, kita boleh bentuk kerajaan negeri,” kata setiausaha organisasi DAP kebangsaan itu.

Pada 2013, BN menewaskan Pakatan Rakyat dengan 22 kerusi berbanding 14 di Negeri Sembilan.

DAP menang 11 kerusi sementara PKR 3 kerusi. Di pihak BN, Umno menang 21 kerusi dan MIC 1.

Bagaimanapun, bilangan kerusi Umno berkurangan selepas Adun Lenggeng Datuk Ishak Ismail meninggal dunia kerana serangan jantung Julai lepas.

Loke berkata PH mahu mengambil alih negeri itu dengan memenangi kerusi yang tewas dengan majoriti tipis pada 2013.

“Kami menyasarkan kerusi Ampangan, Pilah, Klawang dan beberapa lagi kerusi yang kami tewas dengan perbezaan kecil. Kerusi yang PAS tandingi bawah Pakatan Rakyat pada pilihan raya lepas akan diagihkan antara Amanah dan PPBM.

“Majoriti BN di Dewan Undangan Negeri tidak besar dan pada 2 pilihan raya umum lalu, BN sekadar mendapat kemenangan tipis, tanpa majoriti 2/3.

“PH hanya kekurangan 5 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri dan bagi DAP, kami berharap dapat mempertahankan semua 11 kerusi dan menyumbang kepada kemenangan PH.”

Di Ampangan, calon Umno, Datuk Abu Ubaidah Redza menewaskan calon PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbdas dengan majoriti 89 undi.

Di Pilah, calon Umno, Datuk Norhayati Omar menewaskan calon PKR, Mohamad Nazaruddin Sabtu dengan majoriti 113 undi.

Di Klawang, calon Umno, Datuk Yunus Rahman menewaskan calon PAS, Rosli Yaakop dengan 282 undi.

Kerusi sasaran lain ialah Paroi (majoriti 2,184 undi), Labu (1,511), Lenggeng (2,058) dan Johor (1,344).

Mengulas tentang Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Loke akui pemimpin Umno itu popular dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan, terutamanya masyarakat Melayu.

“Dia salah seorang MB terkuat di negara ini dan saya tidak nafikan popularitinya.

“Kita perlu hadapi menghadapinya, walaupun ‘mood’ PRU tidak berdasarkan kepada personaliti atau MB sahaja.

“Keputusannya nanti bergantung kepada keadaan politik dan keseluruhan negara, dan pelbagai isu yang dihadapi pengundi seperti kos sara hidup yang tinggi, GST, rasuah dan perasaan tidak gembira rakyat terhadap keadaan sekarang.

“Ramai merasakan keadaan sekarang tidak sesuai untuk negara dan semua orang mengharapkan perubahan. Jika ‘mood’ itu berterusan sehingga PRU14 akan datang, kita harap mereka akan mengundi untuk perubahan.”

Pada 28 Januari, Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, PKR akan bertanding di 12 kerusi, DAP 11 kerusi, Amanah 7 dan PPBM 6.

Pengagihan itu tidak disenangi beberapa pemimpin PPBM negeri. Kira-kira 40 ahli PPBM menunjuk perasaan di konvensyen PH Negeri Sembilan semasa Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggulung ucapannya.

Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir turun dari pentas untuk menenangkan penunjuk perasaan. Ketua PPBM Jempol Amiruddin Aman yang mengetuai tunjuk perasaan itu berkata pengagihan itu tidak adil.

“Pembahagian kerusi tak seimbang. Kami sasar 12 kerusi dan kalau dapat 10 pun okay…tapi yang dapat 6 yang hitam,” katanya kepada pemberita.

Tiada ulasan: