ALOR SETAR: Tempoh reman seorang pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran
(JPS) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan
salah guna kuasa dilanjutkan enam hari mulai esok hingga Ahad.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah Alor Setar Nor Azah Idris
membenarkan perintah sambung reman terhadap pengarah berumur 60 tahun
itu setelah tempoh reman sejak 30 Januari lepas berakhir hari ini.
Sementara itu, dua pemilik syarikat berumur 39 dan 50 tahun yang
ditahan reman bersama pengarah terbabit telah dilepaskan dengan jaminan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM15,000
(deposit) dengan seorang penjamin.
Pada 29 Januari lalu, SPRM dilaporkan menahan seorang pengarah JPS
berumur 60 tahun bersama pemilik dua buah syarikat berumur 39 dan 50
tahun di sebuah pejabat SPRM.
SPRM turut menyita akaun bank berjumlah RM2.9 juta dan merampas wang
tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang
ditahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan