Isnin, 5 Februari 2018

Susu tiruan: 2 peniaga didakwa 21 Feb

THE MALAYSIAN TIMES
 


NILAI- Dua peniaga akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru 21 Feb ini atas dakwaan menjual produk susu yang dipercayai tiruan Disember lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya mendapat segala bukti terperinci termasuk laporan kimia mengenai kandungan susu terbabit.

“Kes ini bulan Disember lepas heboh diperkatakan. Ini membuktikan kita buat (rampas dan dakwa) secara terperinci. Kita mengambil masa sedikit kerana kita memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

“Bila dah dapat segala maklumat yang dah disahkan itu baru kita boleh dakwa,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di sini hari ini.

Pada Disember lepas KPDNKK Johor Bahru merampas 210 kotak susu rumusan bayi bernilai RM42,000 yang disyaki tiruan di lima lokasi berasingan di Johor.​​​

​​​​​​​Sementara itu, diminta mengulas sama ada KPDNKK akan merampas kopi campuran yang mengakibatkan beberapa individu terpaksa dibawa ke hospital selepas meminumnya, Hamzah berkata pihaknya setakat ini belum lagi menerima sebarang laporan terperinci mengenai kandungan kopi itu.

“Kita kena pastikan perkara itu secara sah, kena ada hitam putih. Kita tidak mahu ada andaian…bila dah cukup bukti kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Pada 30 Jan lepas, lima individu termasuk dua wanita, mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami gejala letih dan lemah teruk dipercayai selepas meminum sejenis kopi, dengan dua orang daripada mereka dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Pada 4 Feb pula, dua lelaki dimasukkan ke HPP selepas mengalami pening dan muntah dipercayai selepas meminum sejenis kopi campuran.– Bernama

Tiada ulasan: