Isnin, 5 Februari 2018

GAUM buat laporan polis artikel fitnah Musa

THE MALAYSIAN TIMES
 


KOTA KINABALU: Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan terhadap satu akaun Facebook menggunakan nama “Neo Khai” yang menuduh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendalangi aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Maliau Basin.

Presidennya Datuk Zulkarnain Mahdar berkata tuduhan dalam artikel berserta beberapa gambar kononnya gambar aktiviti pembalakan di hutan simpan itu adalah berniat jahat dan melampau.

“Gambar yang dimuat naik adalah gambar aktiviti pembalakan di (negeri jiran) namun dituduh kononnya berlaku di Sabah, khususnya di Maliau Basin.

“Ketua Konservator Hutan Sabah (Datuk Sam Mannan) telah mengesahkan bahawa tuduhan itu sangat tidak berasas,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Zulkarnain yang percaya tuduhan terhadap Menteri Kewangan Sabah itu didalangi pembangkang yang terdesak berkata pihak berkenaan sepatutnya membuat laporan polis sekiranya mempunyai bukti berhubung perkara yang dituduh dan bukannya membuat tuduhan melulu.–Bernama

Tiada ulasan: