Selasa, 6 Februari 2018

Presiden PAS sangat mentaati keputusan MSU

DETIK DAILY



Oleh SARINA ISMAIL

 KUALA KEDAH: Segala keputusan dan ketetapan yang diambil oleh PAS, tidak pernah melanggar keputusan Majlis Syura Ulama, bahkan ia diakur sepenuhnya Tuan Guru Presiden, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Demikian antara ditegaskan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Ahmad Ali ketika merasmikan Pelancaran Assabiqun Peringkat Kawasan Kuala Kedah di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, di sini kelmarin.

Menurutnya, Tuan Guru Abdul Hadi tidak pernah membelakangi keputusan Majlis Syura Ulama, malah jauh sekali membuat pendirian sendiri.

"Kepada sesiapa yang sering memfitnah beliau kononnya dia (Presiden PAS) membuat keputusan parti atas kehendaknya sendiri atau melanggari syarak. Tunjuk keputusan yang mana satu dan bila beliau mengeluarkan kenyataaan itu," cabar beliau.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada 'orang-orang lama' kerana masih istiqamah bersama PAS walau ada yang kecundang akibat termakan hasutan musuh politik parti berkenaan.

Justeru itu, Ustaz Ahmad juga menyentuh bahawa demokrasi di dalam PAS hidup subur dan tidak timbul ahli bawahan tidak boleh menegur pemimpin atasan.

Namun, kritikan mahupun teguran perlu dibuat dengan cara yang betul dan berakhlak.

"Jangan kita mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak musuh Islam yang sememangnya mahu melihat Islam jatuh dan kucar-kacir.

"Islam mengajar kita, selagi mana pemimpin tidak melakukan perkara yang melanggar syarak, ia mesti dipatuhi serta memberi wala' kepadanya," tegas beliau lagi.

Oleh itu, haram sama sekali menubuhkah jemaah Islam yang lain hanya bersebabkan tidak puas hati terhadap individu tertentu, walhal jemaah yang sedia sudah lengkap dan sempurna sebagaimana dikehendaki Islam. 

Tiada ulasan: