Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR: PAS
menafikan telahan kononnya jika parti ini memerintah akan wujud dua
kabinet memisahkan antara kabinet Islam dan bukan Islam.
"Dua kabinet itu tak betul. Bukan dua
kabinet. Pembahagian tugas. Biasalah dalam kerajaan, ada Menteri,
Timbalan Menteri, Perdana Menteri, Menteri Tugas-tugas Khas, Menteri.
"Ada Menteri yang dia pantau
Kementerian-kementerian. Itu biasakan pembahagian? Bukan dua kabinet,
itu dia tak faham, tak faham ulasan saya, tak faham," kata Presidennya,
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada pemberita ketika ditemui di
Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut di sini semalam.
Beliau juga menolak tohmahan seorang penganalisis politik kononnya PAS mahu membawa sistem kasta agama.
Tegas beliau, Islam menghapuskan kasta sedangkan agama lain seperti Hindu, Kristian ada kasta di mana paderi dianggap suci.
Berbeza dengan Islam kata beliau yang
menyebutkan bahawa golongan ulama ini tidak suci, dan mereka juga
berdosa seperti golongan lain serta mesti bertaubat.
Tegas beliau, Islam menentang teokrasi yang menjadikan ahli agama sebagai pemimpin mutlak.
Malah kata beliau, Islam menentang diktator, dalam masa yang sama Islam juga mengawasi demokrasi.
"Demokrasi itu hak rakyat. Tapi rakyat
jangan dibeli. Rakyat jangan dipengaruhi. Kalau majoriti rakyat yang
jahil dipengaruhi, demokrasi dah jadi tak betul. Islam menguasai
demokrasi," tegasnya yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia.
Dalam isu sama beliau turut menegaskan
bahawa dua kabinet dimaksudkan itu adalah gabungan mereka yang menganut
ideologi negara dan tidak menganut ideologi negara dalam satu
pemerintahan.
Iaitu terangnya, mereka yang mengikut
pembahagian tugasan dengan bidang tugas tertentu, bukan dua kabinet
terpisah sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu.
"Dalam negara moden hanya mereka yang
menganut idealogi negara sahaja boleh jadi Menteri Kabinet. Kalau
Demokrat, semua Demokrat. Republikan semua Republikan. Barisan Nasional,
semua Barisan Nasional.
"Kalau kita Kerajaan Teknokrat boleh
orang kanan yang lain boleh jadi Menteri, dia ada kepakaran. Bukan makna
dua itu. Kepakaran-kepakaran dia. Itu kena faham. Bukan makna dua
(kabinet), itu tak, ulasan itu tak kena," tegasnya lagi.
Beliau menegaskan perkara yang
diutarakan sebelum ini ditulis oleh ulama-ulama dalam kitab-kitab Islam
yang dikaji oleh ilmuwan Barat.
"Buku Ahkam Sultaniyyah al-Mawardi. Buku al-Kharaj Abu Yusuf, itu dalam mazhab Hanafi. Siyasah Syar’iah Ibnu Taimiyah mazhab Hambali. Ini kitab-kitab yang ditulis oleh ulama Islam. Ghiath Imamul Haramain," jelas beliau
Ujarnya lagi buku-buku yang ditulis oleh
ulama Islam berkenaan dengan pemerintahan negara yang diciplak oleh
orientalis di mana orang Barat tidak mengenali demokrasi moden.
Kata beliau, mereka tahu Revolusi
England, Revolusi Perancis, Revolusi Amerika, Revolusi Perancis,
Revolusi Rusia, adalah usaha mengubah sebuah kerajaan kerana mereka
(Barat) tidak faham mengenai pilihan raya ketika itu.
Disebabkan itu tegas beliau, Barat mengkaji sejarah Islam dan menemui bagaimana untuk mengadakan pilihan raya ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan