Khamis, 1 Februari 2018

PERKASA: Lain kali hakim mesti ditaklimatkan dulu

DETIK DAILY

 
 
PERKASA tertarik untuk merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penukaran agama tiga orang anak anak kepada islam oleh Mohd Ridzuan Abdullah ekoran rayuan sebelah pihak oleh ibunya Indira Ghandi.

Justeru PERKASA memandang berat keputusan mahkamah ini yang dilihat ' janggal', tanpa menjadikan kes R Subasini lawan TSaravanan 2007 sebagai rujukan, walaupun memahami keputusan mahkamah tidak terikat dengan kes-kes terdahulu.

Sebaliknya mahkamah hanya bersandarkan pentafsiran akal pada perkataan majmuk 'parents' (ibu bapa).

Sedangkan kesepakatan ulama empat mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah jelas memutakmadkan bahawa agama anak bawah umur adalah di bawah dan dinasabkan kepada bapanya.

Asasnya PERKASA amat menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut selaras dengan Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan, namun, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang sangat prihatin pada sesuatu yang boleh membawa kepada ancaman agama bangsa dan negara seharusnya mengingatkan kepada pihak berkenaan bahawa sebarang kehendak dan penatfsiran perlembagaan sewajarnya juga berpaksikan dan membawa bersama semangat Isam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam perkara 11 perlembagaan Malaysia.

Di samping itu PERKASA juga tidak terkecuali menzahirkan kebimbangan ekoran keputusan ini sudah semestinya akan melebarkan dan menyerap fahaman liberalisme, di samping semestinya menjadi rujukan serius pada kes-kes yang sama di masa akan datang.

Hal ini tidak mustahil boleh membawa kepada masalah jenayah sampingan seperti sentimen provokasi agama, penculikan, melarikan anak dan seumpamanya.

Tambahan pula PERKASA sudah melihat bibit-bibit awal provokasi atas sentimen agama apabila M Kulasagaran (anggota parlimen Ipoh Barat) yang juga peguam kepada M Indiran Ghandi yang seolahnya terus memperlekeh parlimen dan kabinet dengan menyatakan keputusan mahkamah persekutuan ini jelas menzahirkan berapa 'parlimen dan kabinet takut membuat keputusan' seperti yang disiarkan di Malaysiakini semalam.

Justeru PERKASA mencadangkan supaya hakim/majestrit yang kebanyakannya tidak mendalami ilmu agama islam perlu ditaklimat dan difahami terlebih dahulu oleh institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dalam apa jua kes yang dibicarakan di mahkamah sivil khusus yang membabitkan kes antara agama seperti kes M Indera Ghandi lawan Mohd Ridzuan Abdullah bagi mengelakkan keputusan yang boleh mengancam kesucian agama dan perpaduan negara.

PERKASA juga sangat menyokong cadangan Presiden Persatuan Peguam Muslim yang mencadangkan supaya kerajaan negeri segera meminda undang-undang tubuh negeri untuk menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil selaras dengan Islam agama persekutuan.

Di samping itu PERKASA mendesak supaya kerajaan segera membentangkan dan meluluskan rang Undang-udang 355 bagi mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

HASSAN BASRI MUHAMMAD Naib Presiden PERKASA. 
 
 

Tiada ulasan: