PERMATANG PAUH: PAS Pulau Pinang bercadang untuk bertanding di 20
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14), menurut Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof.
Bagaimanapun beliau berkata keputusan sama ada PAS Pulau Pinang akan
bertanding di 20 kerusi itu atau sebaliknya, akan ditentukan PAS pusat.
"Cadangan kita akan diambil kira sama ada berkurangan atau berlebihan
(kerusi). Kita kemukakan kepada pusat 20 kerusi DUN, maknanya nanti PAS
akan fikirkan sama ada 20 kerusi atau pun kurang lagi, kerana mengambil
kira rakan-rakan kita dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS dan Gagasan
Sejahtera," katanya.
Beliau ditemui selepas program Amanat PRU14 Presiden PAS Abdul Hadi
Awang "PAS Tawan Permatang Pauh" di Bukit Mertajam, malam tadi.
Ditanya mengenai 20 kawasan itu dan calon yang akan bertanding, beliau
berkata pihaknya akan mengumumkan kepada media bila tiba masanya.
"Kita sekarang masih lagi dalam perbincangan untuk letakkan calon PAS yang terbaik kepada rakyat di Pulau Pinang," katanya.
Terdahulu, Hadi mengumumkan PAS akan bertanding di Parlimen Permatang
Pauh dan tiga DUN Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti pada PRU14.
Pada PRU13, PAS bertanding di dua kerusi Parlimen (Kepala Batas dan
Tasek Gelugor) dan enam kerusi DUN (Penaga, Permatang Berangan, Sungai
Dua, Permatang Pasir, Sungai Acheh dan Bayan Lepas).
PAS hanya memenangi satu kerusi DUN Permatang Pasir, disandang oleh
Mohd Salleh Man yang juga wakil tunggal PAS di Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan