Isnin, 5 Februari 2018

Lelaki 59 tahun maut dijangkiti rabies di Sarawak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUCHING: Seorang lelaki berusia 59 tahun dilaporkan menjadi mangsa ketujuh dan terbaru yang meninggal dunia akibat dijangkiti virus rabies atau penyakit anjing gila di negeri ini.
 
Mangsa berasal dari Jalan Batu Kawa-Matang menghembus nafas terakhir setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi akibat digigit anjing sejak 25 Januari lalu.
 
Kematian mangsa disahkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Prof. Datuk Dr. Sim Kui Hian dalam status yang dimuat naik di Facebook miliknya pada pukul 14.45 malam tadi.
 
Menerusi status tersebut, Kui Hian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia kerana rabies di Hospital Umum Sarawak pada petang semalam, dan sempat menyenaraikan enam langkah pencegahan awal sekiranya individu itu digigit anjing bagi mengelak dijangkiti wabak berkenaan.
 
Sejak 30 Jun tahun lalu sehingga semalam, terdapat tujuh kes jangkitan Rabies dilaporkan di Sarawak dengan ketujuh-tujuh kes telah meninggal dunia.
 
Susulan masalah jangkitan rabies yang serius itu, kerajaan negeri telah mengarahkan pemilik anjing di Sarawak termasuk kawasan pedalaman wajib mendapatkan suntikan vaksin penyakit tersebut untuk anjing peliharaan.
 
Arahan itu diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri yang merangkap PengerusiJawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada pemberita ketika melawat pusat vaksinisasi di MJC, Batu Kawa di sini, kelmarin.
 
 

Tiada ulasan: