KLANG: PKR mahu bertanding di semua 21 kerusi DUN di Selangor pada PRU14, kata naib presiden parti itu, Dr Xavier Jayakumar.
Beliau berkata parti itu yakin dapat merampas beberapa kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum ke-13.
"Kami bertanding 21 kerusi pada pilihan raya lepas dan kami bercadang
untuk bertanding di 21 kerusi yang sama (pada PRU14). Kami yakin dapat
menanginya," katanya kepada pemberita selepas mendengar ceramah bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis perayaan Ponggal di
Kapar semalam.
Dr Xavier berkata, PKR harus diberi keutamaan bertanding lebih banyak
kerusi di Selangor memandangkan Menteri Besar dan timbalan presiden PKR
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pemimpin negeri ini.
"Ada beberapa pihak yang mahukan (jumlah) kerusi yang sama tetapi PKR
ingin menegaskan bahawa kami adalah kerajaan di negeri ini dan Menteri
Besar adalah daripada parti kami… oleh itu, kami yang harus bertanding
lebih banyak kerusi di Selangor," katanya dipetik Bernama.
Pada pilihan raya umum ke-13 di Selangor, PKR bertanding di 21 kerusi DUN dan memenangi 14 daripadanya.
Bagaimanapun, bilangan itu berkurangan kepada 13 apabila bekas Menteri
Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memenangi kerusi DUN Pelabuhan
Klang pada pilihan raya lepas, dipecat PKR pada 2014.
Sementara itu, Mahathir yang juga pengerusi PPBM ketika ditemui
pemberita selepas majlis itu berkata, beliau tidak pasti sama ada
anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang merupakan timbalan presiden PPBM, akan
bertanding kerusi DUN di Selangor.
"Saya tidak tahu tentang itu. Beliau akan bertanding tetapi saya tidak
tahu di mana," kata Mahathir semasa ditanya mengenai dakwaan bahawa
Mukhriz, bekas Menteri Besar Kedah, akan bertanding di Selangor.
Ditanya mengenai isu perebutan kerusi antara PKR dan Amanah Selangor di
negeri itu, Dr Mahathir berkata, ia perlu diselesaikan secara dalaman.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 'serangan'
pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim terhadap Mohamed Azmin yang juga
pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor membabitkan isu pengagihan
kerusi di negeri itu.
Sebelum ini, Mohamed Azmin mendakwa Amanah Selangor ‘tidak amanah’ dan
berbohong apabila menyatakan tiada jawatankuasa khas pembahagian kerusi
DUN dibentuk oleh PH.
Sebaliknya, beliau berkata sudah empat kali mesyuarat diadakan bagi membincangkan soal pembahagian kerusi DUN itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan