Ahad, 4 Februari 2018

Menteri tak hormat sensitiviti kaum



OLEH ERMIZI MUHAMAD


SHAH ALAM : Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa tidak sensitif terhadap isu perkauman dan agama pihak tertentu di negara ini.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian susulan kenyataan Tengku Adnan yang mendakwa wujudnya rumah ibadat yang menyebarkan perkara tidak benar dan berunsur fitnah.

“Ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab sedangkan pusat keagamaan ini adalah tempat suci agama tertentu.

“Sedangkan pusat ibadat ini tempat untuk berdoa, beribadat dan dianggap tempat suci untuk beribadat memohon kesejahteraan rakyat.

“Tetapi ada pemimpin Umno dan Barisan Nasional ini sanggup menghina kaum yang menganut agama Kristian dan sebab itulah rakyat perlu lakukan perubahan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ponggal Peringkat Negeri Selangor di Tapak Parkir Dewan Serbaguna Batu 14, Puchong malam tadi.

Sebelum ini, Tengku Adnan dilapor memberi amaran supaya pihak gereja lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan dan maklumat kepada masyarakat dengan tidak melemparkan kenyataan fitnah terhadap Kerajaan.

Susulan kenyataan Menteri Umno itu, Majlis Gereja Malaysia menyangkal dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia tidak relevan.

Tiada ulasan: