DETIK DAILY
Oleh Dinsman
Seorang sahabat yang membaca tulisan saya minggu lalu mengatakan bahawa
kita mempunyai hanya dua pilihan, samada Najib atau Mahathir. Tekad
Budaya tiada dalam pilihan. Namun, samada Mahathir atau Najib yang
menang nanti, Tekad Budaya masih perlu meneruskan kempennya hingga ia
difahami oleh para seniman-budayawan-intelektual kita.
Lalu dia
bertanya siapakah pilihan kita antara dua itu. Saya kata Mahathir lebih
baik sedikit, dan Malaysia tak akan menjadi lebih teruk daripada keadaan
yang sedia ada. Saya juga percaya ekonomi dan kehidupan rakyat akan
menjadi bertambah baik. Tetapi hanya untuk sementara waktu. Rakyat yang
sekarang “tak berupaya” mestilah “diupayakan”.
Kita harus sedar
bahawa kita berada pada tahap yang begini teruk sekarang adalah
disebabkan oleh sikap dan mentaliti rakyat yang telah diasuh dan
dibentuk sedemikian rupa oleh pentadbiran dan kepemimpinan Dr Mahathir
selama lebih 20 tahun sejak 1981. Itu memang kesalahan/ kesilapan yang
dilakukan oleh Dr Mahathir, yang tak akan dilupakan, walaupun dia kini
sudah berubah, atau ‘bertaubat’(?).
Fokus Tekad Budaya lebih
kepada rakyat, kepada umat, bukan kepada teraju kepemimpinan. Fokus
Tekad Budaya lebih kepada nilai-nilai kehidupan rakyat, bukan kepada
kuasa yang dikawal oleh sekelompok orang-orang politik.
Memang
situasi sekarang dan keadaan yang ada sekarang memberi kelebihan kepada
politik untuk membuat perubahan segera. Tetapi seperti yang selalu saya
ungkapkan, politik bukanlah jawapan kepada segala permasalahan
masyarakat. Politik selalunya boleh memberi jawapan untuk jangka pendek,
tetapi untuk jangka panjang politik selalunya membawa masalah.
Untuk permasalahan besar yang sedang dihadapi oleh masyarakat Malaysia
hari ini, yang memerlukan penyelesaian segera, nampaknya pilihan yang
ada hanyalah Dr Mahathir, tokoh kontroversil yang berusia 93 tahun itu.
Dan pilihan ini serentak menyatakan betapa tidak berdaya dan tidak
berupayanya masyarakat Malaysia hari ini. Terpaksa menjilat semula ludah
sendiri.
Pilihan ini juga bermakna bahawa tokoh tegar pimpinan
Reformasi yang kita julang selama ini, yang tahun demi tahun membuktikan
semangat wajanya tak pernah luntur walau difitnah diaibkan dikejami
dibelasah dianiaya dan dipenjarakan selama hampir 20 tahun itu, kini
sudah ‘surrender’, tak berupaya lagi.
Memang Anwar Ibrahim tak
pernah berkata atau membuat pengakuan begitu. Tetapi persetujuan
partinya Keadilan (PKR) menerima Dr Mahathir (sang algojo yang
‘memancong leher’nya dulu) sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya
Pakatan Harapan menang pilihanraya akan datang, itulah makna dan
implikasinya, pada saya.
Mungkin pada orang lain tidak demikian
makna dan implikasinya. Tetapi pada saya, begitulah. Anwar dan seluruh
kepemimpinan politik pakatan pembangkang mengaku akan ketidakupayaan
mereka untuk menjatuhkan Najib dan menyelesaikan masalah besar yang
sedang menghimpit dan menekan hidup rakyat Malaysia hari ini. Kita perlu
mengangkat semula orang yang sebelum ini kita berjuang habis-habisan
bagi menjatuhkannya.
Dari segi Tekad Budaya kita tidak ada
masalah sebenarnya, kerana kita percaya Mahathir lebih baik daripada
Najib, dan pengalaman saya secara peribadi membuktikan bahawa Mahathir
jauh lebih mesra seni-budaya dibandingkan dengan Najib.
Ada
banyak peristiwa seni-budaya yang melibatkan saya bersama Mahathir. Dia
hadir teater saya dan saya pernah dijemputnya bersama Usman Awang duduk
semeja dengan dia dan keluarganya menonton teater West End di hotel
Regent, Kuala Lumpur. Dan saya mendapatkan persetujuannya menjadi
penaung siri program ‘Puisi Tanahair’ ketika duduk bersama dengannya
dalam jet peribadinya dalam penerbangan dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Saya dan kawan-kawan Teater Elit pernah berbincang permasalahan
teater bersama dengannya di kediaman rasminya, dan di pejabatnya, sejak
dia Timbalan Perdana Menteri lagi. Selepas PRU pertama dia sebagai
Perdana Menteri, dia menyediakan makan malam di Rumah Malaysia di Jalan
Ampang, istimewa untuk saya dan Sutung Umar Rs menjemput siapa saja yang
kami nak jemput, untuk makan malam bersama Perdana Menteri, sebagai
menghargai Teater Elit menganjurkan ‘Malam Puisi Panjang Untuk
Mahathir’, April 1982.
Rasanya kalau Mahathir kembali menjadi
Perdana Menteri selepas PRU 14 nanti, peluang untuk saya bersama Paksi
(Seniman Paksi Rakyat) mengemukakan program-program seni-budaya untuk
dilaksanakan di bawah kerajaan Persekutuan yang baru, tentulah
potensinya lebih baik. Dan ini berkemungkinan memberi momentum baru yang
lebih bertenaga kepada Tekad Budaya, untuk melonjak lebih maju.
Itu sekadar berfikir positif terhadap kemungkinan Pakatan Harapan di
bawah pimpinan Dr Mahathir memenangi PRU 14. Senarionya tidak demikian
sekiranya Tok Guru Nik Aziz masih ada. Saya pasti tidak perlu berfikir
lama untuk mengangkat TG Nik Aziz sebagai bakal Perdana Menteri, dan
bukannya Dr Mahathir.
Tetapi realitinya TG Nik Aziz sudah tiada,
dan kita tak ada pilihan yang lebih baik daripada Dr Mahathir, buat
sementara waktu ini. Maka kita pun maklum, sekiranya itu terjadi,
Mahathir dan Pakatan Harapan sudahpun mempunyai senarai prioriti yang
cukup panjang untuk mereka laksanakan bagi ‘menyelamatkan’ negara ini;
dan seni-budaya tidak ada dalam senarai tersebut.
Namun saya
percaya Mahathir ada sedikit keistimewaan dalam hal ini. Saya percaya
dia masih boleh memberi sedikit ruang untuk seni-budaya di dalam senarai
prioritinya itu. Lagipun apa salahnya memberi sedikit harapan kepada
orang yang terbukti pernah memberi layanan istimewa kepada seni-budaya,
dan saya sendiri pun mempunyai pengalaman yang positif dengannya.
Sebaliknya saya juga mempunyai banyak pengalaman yang negatif dalam
berurusan seni-budaya dengan pimpinan atasan Keadilan, dan juga dengan
teraju pimpinan negeri Selangor masakini.
Dan seperti saya sebut
di atas tadi: Fokus Tekad Budaya lebih kepada rakyat, kepada umat, bukan
kepada teraju kepemimpinan. Fokus Tekad Budaya lebih kepada nilai-nilai
kehidupan rakyat, bukan kepada kuasa yang dikawal oleh sekelompok
orang-orang politik. Dan saya bersama Paksi tidak akan mengubah atau
berubah fokus itu, walau siapapun pemimpin politik yang menerajui negara
ini.
Dan menyedari bahawa rakyat Malaysia sekarang dalam keadaan
“tak berupaya”, seperti dijelaskan di atas, Paksi melalui Tekad Budaya
akan terus berusaha bagi “mengupayakan” rakyat; dengan terus
menggerakkan para seniman, budayawan dan intelektual memainkan peranan
masing-masing. Insya Allah!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan