DETIK DAILY
Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
PAS kesal kenyataan presiden diputar belit oleh The Malaysian Insight dan diulas oleh para pimpinan politik berdasarkan kenyataan yang diselewengkan itu.
Wartawan yang hadir mungkin tidak memahami maksud penggunaan istilah
“wazaratul Tanfiz” dan “wazaratul tafwid” yang digunakan oleh presiden
atau sengaja memutar belit demi hasrat melaga-lagakan orang ramai.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini sangat dikesalkan.
Ucapan presiden PAS bahawa dalam urus tadbir negara berdasarkan prinsip
Islam jauh lebih adil kepada semua pihak berbanding sistem politik yang
dilaksanakan di Barat seperti apabila parti Demokrat yang menang maka
tidak akan ada kabinat daripada parti Republikan. Begitu juga
sebaliknya.
Namun dalam sistem pemerintahan Islam, orang bukan Islam boleh dilantik
menjadi menteri kabinet dan turut terlibat dalam melaksanakan keputusan
kerajaan.
“Wazaratul tanfiz” itu satu istilah merujuk sesorang boleh membuat
keputusan mutlak tanpa persetujuan orang lain. Dalam hal ini pembuat
dasar yang sebegini mestilah terdiri dari penganut agama negara (Islam)
kerana tidak mungkin orang bukan Islam boleh membuat keputusan berhubung
dasar dan pengamalan Islam. Kerana ia melibatkan soal hukum halal dan
haram, dosa dan pahala serta mesti merujuk kepada sumber utama Islam
iaitu al Quran dan Hadis. Adalah tidak masuk akal sama sekali sekiranya
kementerian yang menjaga hal ehwal agama Islam diberikan kepada bukan
orang Islam untuk menguruskannya.
Manakala “wazaratul tafwid” pula badan yang tiada kuasa mutlak dalam
memutus sesuatu perkara dan terikat dengan keputusan kabinet. Maka ia
tidak terikat dengan syarat sebagai mana “wazaratul tanfiz”. Dengan kata
lain ia boleh dianggotai oleh sesiapa sahaja rakyat yang mempunyai
kebolehan dan kemampuan, termasuk menjadi menteri, timbalan menteri dan
lain-lain jawatan.
Dalam konteks negara Malaysia, hanya perdana menteri yang mempunyai hak
sebagai wazaratul tanfiz, manakala para menteri adalah termasuk dalam
kategori wazaratul tafwid yang terikat dengan keputusan mesyuarat
kabinet dan keputusan perdana menteri.
Berikut transkrip dialog presiden PAS di Pulau Pinang bersama NGO India pada 4 Februari yang lalu:
“Islam membenarkan kabinet — menteri, exco dari kalangan bukan Islam.
Ini berbeza dengan demokrasi Barat. Kalau di Barat contohnya di Amerika,
jika parti Demokrat yang menang, presiden Demokrat, menteri kabinet
Demokrat, ketua jabatan semua Demokrat. Apabila Republikan yang menang,
semuanya Republikan. Kalau di England, Liberal Party yang menang, semua
Liberal party (yang menjawat) kecuali raja yang tak boleh dipecat kerana
raja berperlembagaan.
“Kalau Islam memerintah, Islam membahagikan kementerian, ada dua iaitu
wazaratul tanfiz dan kedua wazaratul tafwid. Wazaratul tanfiz ialah
kementerian yang boleh membuat polisi dan dasar negara. Inilah mesti
yang menganut ideologi dan akidah negara. Dalam konteks negara moden,
tidak ada individu tapi jemaah menteri yang menentukan dasar tetapi
melantik menteri yang eksekutif untuk mengendalikan urusan dibenarkan
orang yang bukan Islam mengikut kepakaran masing-masing. Malah Islam
membenarkan kerajaan teknokrat, yang bukan ahli parlimen tapi pakar
boleh menjadi menteri kabinet. Ini dalam Islam, kerajaan teknokrat.”
Apa yang dikesali, wartawan The Malaysian Insight telah
memetik kata-kata presiden PAS dalam bentuk sedemikian yang bukan sahaja
jauh menyimpang daripada kata-kata sebenar presiden PAS, malah
direka-rekanya sendiri.
Petikan wartawan The Malaysian Insight, Chan Kok Leong, seperti berikut:
“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua — (satu), kabinet
yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada
mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional. Kabinet itu akan
melantik kabinet eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya
boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran
mereka.”
Tindakan menggambarkan wujudnya dua kabinet adalah jelas berniat jahat
dan merosakkan profesionalisme kewartawanan. Apa yang lebih
mendukacitakan ialah tindakan pengkritik tanpa merujuk dan memahami
ucapan sebenar presiden PAS yang dapat dirujuk dalam pelbagai saluran
media yang ada.
Jika hendak dirumuskan dalam bahasa Inggeris: “The cabinet envisaged by
PAS will be comprised of Muslims who will make ideological decisions
and also non-Muslims who can be like technocrats.”
Pendeknya, presiden PAS tidak pernah mencadangkan dua kabinet. Oleh itu, laporan The Malaysian Insight sebegini boleh dikategorikan sebagai bentuk berita palsu yang perlu ditolak.
Sehubungan itu PAS mendesak agar setiap maklumat yang diterima
diselidiki terlebih dahulu sebelum menyebar dan membuat kenyataan
menentangnya.
* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah timbalan presiden PAS

Tiada ulasan:
Catat Ulasan