ISMA WEB
Undang-undang sedia ada digunakan Mahkamah Persekutuan buat keputusan batal pengislaman tiga kanak-kanak
Oleh Athirah Huda Zalhe
KUALA LUMPUR
– Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim akan mencadangkan kepada
kerajaan negeri supaya mengkaji semula Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Perak 2004, yang menjadi fokus Mahkamah Persekutuan ketika membuat
keputusan kes tiga kanak-kanak memeluk Islam, baru-baru ini.
Beliau juga
akan menyarankan supaya satu mesyuarat diadakan bersama Majlis Agama
Islam Perak, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dan Jabatan
Mufti Negeri, bagi membincangkan perkara itu.
“Perbincangan
itu akan melihat semua undang-undang yang ada, serta kelompongan,
khususnya Seksyen 96 dan Seksyen 106 yang menjadi fokus utama Mahkamah
Persekutuan untuk melihat kemungkinan ada sebarang kelemahan.
“Dan, kita
akan memperbaiki lah dalam perbincangan itu. Itu antara peringkat jangka
pendek yang terdekat untuk Perak memperbaiki keadaan yang ada,” katanya
kepada Ismaweb.net hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Sidang Meja Bulat UMMAH: Kesan Kes Indira Gandhi Ke Atas Perundangan di sini, hari ini.
Cadangan beliau itu susulan keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, yang membenarkan rayuan untuk membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam.
Menerusi 99
mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri
Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah
perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam
dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.
Penghakiman
mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk
mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak
mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Perak 2004.
Seksyen 96 (Kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004, menyatakan:
(1) Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi pemelukan sah agama Islam oleh seseorang;
(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahsa Arab secara yang semunasabahnya jelas;
(b) pada
masa dia mengucap dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar
bahawa kalimah itu bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan
Allh dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh
Allah”; dan
(c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaam hati orang itu sendiri.
(2)
Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak
perenggan (1)(a), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan menggunakan
isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b).
Sementara, Seksyen 106 (Keupayaan untuk memeluk agama Islam) pula menyatakan:
Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan —
(a) sudah mencapai umur lapan belas tahun; atau
(b) jika dia
belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya
mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan