Khamis, 15 Februari 2018

Mayat amah Indonesia diserah pada Konsulat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
GEORGTOWN: Polis telah menyerahkan mayat amah warga Indonesia, Adelina Lisao kepada Pejabat Konsulat Indonesia di negeri ini, pagi tadi.
 
Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, penyerahan telah dilakukan pukul 9 pagi tadi untuk urusan penghantaran pulang ke kampung halamannya di Nusa Tenggara Timur.
 
Pada masa sama, Thaiveegan berkata, polis kini sedang menunggu laporan lengkap bedah siasat oleh pakar bagi mengesahkan punca kematian amah tersebut.
 
“Oleh itu, polis meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi termasuk dakwaan mangsa juga disimbah asid seperti dilaporkan media Indonesia,” katanya dipetik Utusan Online.
 
Adelina, 28, meninggal dunia pada Ahad lalu dipercayai akibat didera majikannya di Taman Kota Permai 2, di sini.
 
Amah itu mengalami kecederaan parah, termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 4.45 petang Ahad dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
 
Susulan itu, polis menahan dua adik beradik yang merupakan majikannya termasuk ibu mereka berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut.
 
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
 
 

Tiada ulasan: