Khamis, 15 Februari 2018

Sultan Johor titah henti aktiviti jual darjah kebesaran

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan perbuatan menjual tanda kemuliaan dan kebesaran Johor melalui laman media sosial.
 
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli hari ini berkata pihaknya menerima beberapa maklumat terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor antaranya Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan Pingat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor di laman media sosial.
 
“Jumaah memandang berat perkara ini. Tanda kemuliaan dan kebesaran Johor adalah kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dengan tilik pandang baginda yang amat limpah atas jasa, kesetiaan tidak berbelah bahagi dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada Raja, negeri dan rakyat.
 
“Tanda kemuliaan itu tidak sepatutnya diperniagakan atau disalahgunakan untuk tujuan keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini.
 
Abdul Rahim berkata Jumaah Majlis Diraja Johor mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan negeri Johor telah memperundangkan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 berkuat kuasa 13 Mac 2017. 
 
Beliau berkata Fasal 3 enakmen itu memperuntukkan mana-mana orang yang menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah Sultan Johor bagi maksud perdagangan, perniagaan atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian tanpa kebenaran bertulis daripada Raja, adalah melakukan satu kesalahan.
 
Katanya, apabila disabitkan kesalahan itu, pihak yang tidak bertanggungjawab boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
 
 

Tiada ulasan: