KUANTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini
atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya
menggunakan ekor ikan pari.
Tertuduh, Ruslan Ahmad, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah memukul isterinya yang
berusia 31 tahun sehingga cedera di bahagian perut kira-kira jam 9 malam
Selasa lalu di rumah mereka di Taman Dato Rashid Salleh, di sini.
Kesalahan dilakukan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan
boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau
mana-mana dua darinya.
Manakala Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula boleh dipenjara dua kali
ganda hukuman penjara maksimum bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayati Abdullah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 15 Mac depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan