Khamis, 15 Februari 2018

Anina: Tanggungjawab pada negara lebih besar daripada rasa sayang pada Tun M

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketika pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap bekas pemimpin PPBM termasuk dituduh menerima dedak sebagai habuan untuk meninggalkan parti itu, salah seorang bekas pengasasnya, Anina Saadudin, tampil bersuara menjelaskan mengapa beliau memilih untuk keluar parti.    
  
"Jika saya mahukan kerusi untuk bertanding dalam PRU sudah semestinya saya memilih untuk kekal berada dalam PPBM. Tetapi saya memilih untuk keluar dari PPBM pada 16 September 2017.
 
"Jika saya mahu kedudukan, saya boleh pilih untuk menyertai Umno semula. Tetapi saya memilih untuk menubuhkan NGO sendiri," kata Anina dalam satu posting di laman Facebook. 
 
Anina kini merupakan Presiden NGO Empirical Malaysia, sebuah badan yang ditubuhkannya untuk menjalankan kajian empirical untuk isu-isu orang Melayu dan bumiputera. 
 
Ketika bersama PPBM, Anina pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi PPBM, sebelum kemelut dalaman yang menyaksikan beliau digugurkan daripada memegang jawatan berkenaan. 
 
"Sebagai seorang rakyat Malaysia yang sayangkan bangsa dan negaranya, saya memilih untuk berdiri melontarkan pemikiran dan hati saya, melawan arus yang deras demi memperbetulkan kesilapan saya pada bangsa saya sendiri.
 
"Jika saya tidak merasa bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku dalam kepincangan politik Melayu hari ini, saya boleh memilih untuk duduk diam-diam dan pedulikan apa nak jadi pada orang Melayu," katanya.
 
Bercakap mengenai Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anina berkata sekalipun beliau menyayangi pemimpin berkenaan, namun dirinya 'tidak boleh menyokong Tun M kerana sayang'.
 
"Hidup ini bukan hanya tentang kasih sayang. Soal negara bukanlah seperti kisah Shah Jahan dan Mumtaz. Kerana cinta, rakyat menjadi mangsa. Apakah erti kemenangan jika ianya dibina di atas timbunan penderitaan orang lain?
 
"Saya telah memilih untuk tidak lagi menyokong Tun M bukan kerana saya sudah tidak sayangkan Tun M. Hati saya sentiasa mengingati saat saya duduk, berdiri, berjalan, berceramah di sisi Tun M. 
 
"Saya rindu untuk berborak dan melihat wajah insan istimewa itu. Beliau ada aura semulajadi yang membuatkan kita sayang padanya. Namun soal tanggungjawab kepada negara itu adalah lebih besar dari kasih sayang saya terhadap Tun M," demikian kata Anina. 
 
Anina juga mendedahkan, beliau pernah melalui situasi hampir diisytiharkan muflis, sehingga membuatkannya memilih untuk menyepikan diri seketika bagi membangunkan kembali kedudukan kewangannya. 
 
"Ketika itu, jika anda masih ingat ramai orang yang bertanya kan kenapa Anina Saadudin mendiamkan diri dari politik.
 
"Apabila segalanya stabil, baru lah saya melihat kembali arah politik saya.  
 
"Akhirnya saya mengambil keputusan berani untuk keluar dari persembunyian sendiri dan berdiri untuk menegakkan kebenaran. Saya tidak mahu menjadi pendosa kepada bangsa.
 
"Kebenaran tidak perlu disembunyikan. Lambat laun ianya akan timbul. Apa yang saya lakukan hari ini hanyalah tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara kerana Allah," katanya lagi.
 
Anina mengumumkan keluar PPBM pada September 2017 kerana kecewa apabila mendapati parti itu tidak lagi menepati prinsip perjuangan ketika diasaskan, sebaliknya berasa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu dan berlandaskan dasar kronisme.
 
Beliau mendakwa ia termasuk cara 'kejam' beliau dipecat daripada jawatan Ketua Srikandi, kemudian digugurkan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti.

Tiada ulasan: