Isnin, 5 Februari 2018

PUM sokong kewujudan Jakim, mahu lebih banyak peruntukan

 
Persatuan Ulama Malaysia menasihatkan orang ramai jangan terpengaruh dengan kenyataan yang mempertikaikan kewujudan Jakim. 


Abdul-Halim-Abd-Kadir_jaim_600


PETALING JAYA: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan penting khususnya untuk menyelaraskan hal ehwal Islam.

Yang Dipertua PUM Datuk Abdul Halim Abd Kadir menasihatkan orang ramai jangan terpengaruh dengan kenyataan yang mempertikaikan kewujudan Jakim.

“Mempertikaikan kewujudan Jakim secara tidak langsung dibimbangi juga merupakan satu usaha menyekat perkembangan Islam di dalam negara.

“Semua pihak diseru menekuni terlebih dahulu sejarah pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia selain melihat sumbangan Jakim kepada negara dan ummah,” katanya dalam kenyataan media.

Veteran Umno dan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini berkata, Jakim adalah hasil cubaan Umno untuk menjadi lebih Islam daripada saingan utamanya, PAS.

“Jakim tidak berperlembagaan,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu kepada FMT dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

“Apabila beliau berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan Jakim misalnya.”

Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Antara lain, ia turut menguruskan pensijilan halal, industri yang dipercayai bernilai berbilion dolar.

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) sebelum ini menyifatkan dakwaan Tengku Razaleigh mengelirukan kerana penubuhan agensi itu sejajar tuntutan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Zamihan Mat Zin berkata, penubuhan Jakim sejajar Perkara 3(1), 12(2) serta 37(1) Perlembagaan dan tidak bercanggah undang-undang persekutuan atau negeri kerana ia bukan badan penguatkuasaan undang-undang Islam.

Mengulas lanjut, Halim menegaskan kewujudan Jakim sangat relevan di Malaysia kerana membantu Yang di-Pertuan Agong dan bekerjasama dengan raja-raja Melayu seperti dalam bidang pendidikan Islam, pensijilan halal, perkembangan dasar serta program dakwah.

“Pastinya hubungan yang rapat dengan majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri selaku pihak berkuasa agama negeri-negeri adalah bagi tujuan penyelarasan hal ehwal Islam antara negeri dan persekutuan,” katanya.

Jakim sebelum ini menjadi perhatian umum selepas Zamihan, seorang pegawai jabatan itu, mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai isu kedai dobi “hanya untuk pelanggan Islam” di Muar tahun lepas.

Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, Jakim tidak perlu memberi pandangan kepada Johor, yang mana semua orang tahu urusan berkaitan agama adalah di bawah kuasa negeri seperti termaktub dalam perjanjian Persekutuan.

Tiada ulasan: