Isnin, 5 Februari 2018

KEMASKINI- Isu agih kerusi: PKR Selangor sedia terbuka tapi bersyarat

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PKR Selangor bersedia untuk bersikap terbuka dengan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) dalam soal rundingan agihan kerusi DUN di kerusi-kerusi yang belum dimenangi parti itu sebelum ini, namun bersyarat.
 
Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha memberitahu syaratnya adalah mana-mana parti yang ingin bertanding di kerusi-kerusi berkenaan perlu membuktikan mereka 'boleh menang'.
 
Selain kerusi yang belum dimenangi PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, kerusi yang dimaksudkan Haniza adalah kerusi PAS.
 
"(Syaratnya) parti mana yang ada kebarangkalian untuk menang dan kedua, calon yang akan bertanding juga akan diambilkira. Kita dapati pengundi di Selangor ni masih belum buat keputusan kerana mereka akan lihat siapa calon yang akan bertanding di kerusi itu.
 
"Faktor itu diambilkira, sebab itu kita masih berunding dengan rakan dalam pakatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini. 
 
ADUN Taman Medan itu berkata, PKR setakat ini akan bertanding di 14 kerusi yang dimenangi mereka pada PRU13 lalu, dan kerusi tersebut tidak dibuka untuk rundingan.
 
Pada PRU13 lalu di Selangor, PKR bertanding di 21 kerusi DUN dan memenangi 14 daripadanya.
 
Bagaimanapun, bilangan itu berkurangan kepada 13 apabila bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang pada pilihan raya lepas, dipecat PKR pada 2014.
 
Dalam pada itu Haniza berkata, PKR tidak bermaksud untuk menghadkan jumlah kerusi yang ingin ditandingi parti rakannya, namun menurut beliau, berdasarkan kajian yang dilakukan serta maklum balas daripada akar umbi menyatakan PKR berpotensi untuk menang di kebanyakan kerusi yang dimaksudkannya itu.
 
"Mereka kena buktikan kemampuan untuk menang, dari segi jentera, calon. Kita tak mahu juga kalau ada calon, tapi jentera tak ada...macam mana kita nak berkempen. Dari segi orang mengenali parti tersebut.
 
"Ini cabaran yang paling getir pada kawan-kawan yang baru seperti Amanah dan Bersatu (PPBM), mereka perlu perkenalkan calon mereka," katanya lagi.
 
Sebelum ini Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata parti itu mahu bertanding di semua 21 kerusi DUN di Selangor pada PRU14.
 
Dr Xavier berkata PKR harus diberi keutamaan bertanding lebih banyak kerusi di Selangor memandangkan Menteri Besar dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pemimpin negeri ini.
 
Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati rakan komponen gabungan berkenaan. 
 
Sehingga kini rundingan tersebut masih berlarutan dan menjangkaui tarikh akhir yang sepatutnya iaitu 31 Januari ekoran kegagalan mencapai kata sepakat bersabit agihan kerusi.
 
Difahamkan rundingan berkenaan akan dilanjutkan kepada 7 Februari ini. 


Tiada ulasan: