Isnin, 5 Februari 2018

Empat PPS ditutup, mangsa banjir Sarawak berkurang kepada 2,382 petang ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUCHING: Empat daripada 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup, menjadikan jumlah mangsa banjir setakat petang ini berkurang kepada 2,382 orang berbanding 2,640 tengah hari tadi.
 
Dengan penutupan empat PPS berkenaan - tiga di Kuching dan satu di Bintulu, sekali gus menjadikan hanya 16 PPS di Kota Samarahan, Serian serta Mukah masih aktif petang ini.
 
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN), Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata penutupan empat PPS itu dibuat selepas paras air disahkan selamat untuk penduduk kembali ke rumah masing-masing.
 
PPS yang masih aktif ialah lapan di Kota Samarahan membabitkan 1,629 mangsa, lima di Serian (564 mangsa) dan tiga di Mukah (189 mangsa).
 
PPS di Bahagian Kota Samarahan ialah Dewan Pembangunan Sebuyau yang menempatkan 124 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin (574), Masjid Kampung Seruyuk (319), SK Haji Kelali Semera (184), Dewan Suarah Kota Samarahan (35), Pusat Sumber Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sadong Jaya (200), SK Mang (114) dan Dewan Masyarakat Kampung Segali (79).
 
Lima PPS di Bahagian Serian pula menempatkan 564 mangsa, iaitu Dewan Betong Kenawit (16), Dewan Lintang Baru Panchor (205), SK Samarahan Estate (175), Surau Hadhari Kampung Rimba Padi (93) dan Gereja St Peter Kampung Soh (75).
 
Manakala tiga PPS di Mukah ialah SK Parish Balingian yang menempatkan 104 mangsa dari Ladang SOP, Dewan Suarah Mesra Mukah (tiga mangsa dari Kampung Mateding) dan Dewan Masyarakat Kampung Kuala Balingian (82 mangsa dari Rumah Merling).
 
Bagaimanapun, bilangan sekolah terjejas dan ditutup setakat petang ini meningkat kepada 20 berbanding hanya enam pada pagi tadi.
 
Penutupan itu membabitkan enam sekolah di Bahagian Mukah, tiga di Dalat, dua di Padawan, empat di Serian, tiga di Kota Samarahan, dan satu masing-masing di Selangau dan Sibu.
 
Sekolah terbabit ialah SK Klid/Plajau, SK St John Medong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hua, SK Nanga Selangau, SK Kuala Kenyana, SK Kampung Jebungan, SK Kampung Sau, SK Kampung Teh, SJKC Ek Hua dan SK Penakup Ulu (80).
 
SK St Dunstan Padawan, SK St Swithun, SK Pengkalan Sarah Serian, SK Sumpas, SK St Teresa Serian, SK Tanah Puteh, SK Sungai Siong Tengah Sibu, SK Chung Hua Semera, SK Kampung Melayu dan SK St John Samarahan.
 
 

Tiada ulasan: