Isnin, 5 Februari 2018

Jumlah sekolah sebagai pusat pengundian belum diketahui – Chong

THE MALAYSIAN TIMES
 
Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Chong Sin Woon berkata setakat ini jumlah sekolah yang terlibat, bagi melicinkan perjalanan pilihan raya, belum diketahui.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan berkata kalau dilihat pada PRU yang lepas dan jika tiada perubahan, pusat pengundian kemungkinan besar akan diadakan di sekolah yang sama kerana sekolah biasanya digunakan sebagai pusat pengundian.

“Kecuali jika ada persempadanan semula, maka akan ada perubahan di tempat (sekolah) lain. Tetapi perkara ini masih awal untuk dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 150 orang tua dan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada tujuh rumah kebajikan, orang tua dan OKU sempena Tahun Baru Cina 2018 di sini, hari ini.

Majlis tersebut anjuran bersama pusat beli-belah Seremban Prima dan Junior Chamber International (JCI) Seremban.

Sementara itu, Chong yang diumumkan sebagai calon MCA untuk bertanding di Parlimen Seremban baru-baru ini mengakui beliau dan jentera parti perlu bekerja kuat dengan kerjasama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain untuk mencapai kemenangan.

“Saya bekerja siang malam dan jadual saya padat setiap hari dengan pelbagai program. Sudah  tentu bakal calon akan mengambil waktu ini untuk berjumpa dengan seramai mungkin pengundi mereka untuk mendapatkan sokongan.

Saya  perlu bekerja lebih keras kerana tempat ini (Parlimen Seremban) bukanlah tempat yang mudah.  Jentera pilihan raya kita setakat ini, nampaknya semakin rancak dan berkesan,” katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: