THE MALAYSIAN TIMES
BUTTERWORTH: Pakatan harapan (PH) gagal memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) membuatkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua pihak supaya bersetuju dan menyokong keputusan pembahagian kerusi yang diputuskan pucuk pimpinan pakatan itu.
Mengakui terdapat masalah dalam hal pembahagian kerusi, Dr Mahathir berkata semestinya akan ada banyak pihak yang tidak puas hati dengan pengagihan tetapi matlamat utama adalah kemenangan calon yang bertanding.
“Kita akui akan ada masalah pembahagian kerusi, akan ada rasa kecewa apabila kawasan yang diharapkan dapat kepada parti lain.
“Yang penting bukan dapat kawasan untuk bertanding kepada parti itu, kawasan itu tidak penting. Apa gunanya kalau jadi calon untuk bertanding tetapi kalah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang di SP Arena di sini malam tadi.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) meminta anggota pembangkang supaya membelakangi parti mereka masing-masing demi kepentingan dan kemenangan pakatan harapan.
“Kalau nak bersatu, kita kena belakangi parti sendiri dan utamakan pakatan harapan supaya kemenangan itu akan dikecapi,” katanya.
Beliau berkata hanya kerusi Parlimen sahaja yang berjaya dipersetujui oleh keempat-empat parti dan beliau menganggap itu suatu pencapaian besar.
“Itu merupakan satu pencapaian yang besar dalam mempersetujui kerusi-kerusi Parlimen walaupun tempoh masa dari tarikh PRU14 masih jauh,” katanya.
Bulan lepas, Konvensyen PH Negeri Sembilan kecoh apabila kira-kira 40 anggota PPBM yang tidak berpuas hati dengan agihan kerusi DUN, membantah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan