Roketkini.com
DAP melahirkan rasa bimbang mengenai nasib yang akan menimpa lebih 10,000 kakitangan Proton Holdings Berhad (Proton)walaupun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan menafikan ura-ura tindakan membuang pekerja syarikat tersebut.
Baru-baru ini, Ong dipetik sebagai berkata, kerajaan menafikan wujudnya khabar angin mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong yang dikatakan mahu memecat sebilangan kakitangan Proton.
Pengerusi Biro Buruh DAP, A. Sivanesan berkata, Ong tiada kuasa untuk membuat penafian tersebut kerana Proton kini dimiliki oleh Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd (Geely) selaku pemegang saham tersebar dan kerajaan tidak lagi memiliki pegangan saham dalam firma automotif tempatan itu.
“Sedangkan ketika kerajaan memegang Malaysia Airlines (MAS) menerusi pegangan saham Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sekalipun berlaku pembuangan 6,000 pekerja MAS, apatah lagi Proton tidak lagi dimiliki oleh kerajaan,” katanya kepada Roketkini.
Selain memecat kakitangan Proton, khabar angin tersebut turut memetik tindakan Li yang mengendalikan mesyuarat dalam bahasa Cina sehingga menimbulkan kegelisahan ke atas beberapa pengurus tempatan.
Ong yang juga setiausaha agung MCA, walau bagaimanapun mendedahkan, Li memberi kata-dua kepada pembekal komponen automotif Proton untuk mengurangkan harga sebanyak 30 peratus.
Beberapa tahun yang lalu, negara dikejutkan dengan tindakan MAS yang membuang 6,000 pekerja atas alasan sebahagian daripada pelan 12 perkara yang ditetapkan oleh Khazanah bagi memulihkan firma penerbangan tersebut.
Mengulas lanjut, Sivanesan yang juga ADUN Sungkai berkata, DAP mahu Li memberi jaminan untuk tidak melakukan aktiviti pembuangan pekerja dalam tempoh lima tahun pertama Geely mengambil alih Proton.
“Menteri BN juga termasuk Ong dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diminta tidak berdolak-dalih dalam hal ini.
“Mereka mesti bertanggung jawab dalam menjaga periuk nasi lebih 10,000 kakitangan Proton menerusi jaminan serta tindakan yang jitu untuk tidak sewenang-wenangnya membuang pekerja,” jelas beliau. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan