Ahad, 4 Februari 2018

PRU14: Perlawanan rakyat menentang BN, jentera & segala muslihatnya


Oleh

Kita kini memasuki pusingan terakhir sebelum menjelang pilihan raya yang mana tiada guna lagi untuk meneka tarikh pilihan raya umum (PRU) yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum Ramadan (17 Mei) dan sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara pada 8 Jun, pembubaran Parlimen itu akan terjadi sebelum sidang parlimen pada 5 Mac atau selepas ia berakhir pada 5 April. 

Apapun, kita boleh simpulkan bahawa tak sampai seratus hari lagi sebelum PRU paling penting dalam sejarah Malaysia.

Saya ingin mengalu-alukan semua sukarelawan agen pengundian dan pengiraan undi (PACA) dalam PRU akan datang. Penyertaan anda akan memberi perbezaan yang besar dalam mempengaruhi keputusan PRU, terutamanya di kerusi marginal dan berpotensi terjadi pertukaran undi.

Sebagai contoh, pilihan raya kecil (PRK) Sibu pada Mei 2010, mendiang Wong Ho Leng dari DAP memberikan kejutan besar di kerusi yang sebelumnya dianggap mustahil dimenangi pembangkang. 

Beliau menang dengan majoriti undi yang sangat tipis iaitu 398. Kemenangan itu antara lain hasil daripada sukarelawan PACA-nya yang tekun dan berani yang membatalkan 200 undi meragukan yang berpihak kepada BN.

Kadang-kadang, hanya sedozen undi boleh menentukan nasib satu-satu kerusi malah negara.

Memenangi hati dan minda

Setiap undi dikira! Hal ini sangat benar terutamanya bagi pilihan raya di Malaysia yang berat sebelah. BN mempunyai pelbagai kelebihan seperti dana yang besar, jentera kerajaan yang ramai, media, selain penggunaan undang-undang yang menindas, ugutan pihak berkuasa, dan penguatkuasaan terpilih.

Apa yang Najib dan BN tidak pasti adalah hati dan minda rakyat Malaysia. Kenapa Najib masih tidak mengumumkan PRU? Mungkin kerana penasihatnya memberitahu beliau boleh menang dua per tiga majoriti jika menunggu sedikit masa lagi. Namun hal itu seperti tidak akan terjadi kerana beliau tahu beliau tidak memenangi hati dan minda pengundi.

Penting untuk kita ambil maklum bahawa perlawanan antara Pakatan Harapan dan BN adalah satu perlawanan yang sangat tidak adil. Maka, kita mesti cuba sebaik mungkin untuk tidak menggambarkannya sebagai Pakatan Harapan melawan BN. Sebaliknya, ia adalah kebangkitan rakyat dalam pilihan raya menentang salah tadbir Najib, Umno dan BN.

Ia adalah perlawanan antara rakyat dan Najib. 

Dekad terakhir sejak tsunami politik pada Mac 2008 merupakan bukti pembangkang mampu mengalahkan BN dan mengatasi segala cabaran yang ada. Saya akan kongsikan tiga kisah sejak 2008 untuk menggambarkan apa yang saya cuba sampaikan.

Wang

Pertama sekali, meskipun Najib percaya “wang adalah segala-galanya”, namun wang tidak mampu membeli semuanya.

Pada 2007, saya membuat kajian untuk Lim Kit Siang dan sering bertemu dengan ahli-ahli parlimen di bangunan Parlimen di ruang istirehat tempat mereka minum kopi. Suatu petang, seorang yang ketika itu merupakan timbalan menteri MCA yang sudah kaya sebelum menyertai politik memberitahu saya, “Orang muda (ketika ini saya berumur 30), jangan sertai politik jika tidak mempunyai wang. Politik semuanya tentang wang.”

Tahun berikutnya, beliau kalah di kerusinya (dan tidak pernah berjaya mendapatkannya semula meski bertanding lagi pada 2013) sementara saya menang dengan sedikit wang yang ada, yang kebanyakannya disumbangkan melalui sumbangan-sumbangan kecil daripada rakan-rakan dan penyokong.

Apa yang saya cuba sampaikan adalah wang boleh beli banyak perkara namun ia tidak semestinya mampu membeli hati dan minda rakyat. Kita sebagai rakyat mempunyai maruah, aspirasi dan integriti. Kuasa rakyat pada 2008 membuktikan politik bukanlah tentang wang.

Kejutan

Kedua, kejutan pilihan raya memang akan terjadi.

Saya ditugaskan untuk membuat tinjauan undi pada Disember 2007 di Bukit Bendera, kerusi yang akhirnya saya wakili untuk lima tahun dari 2008 hingga 2013. Apabila bertanya kepada pengundi siapa yang mereka akan undi jika pilihan raya diadakan keesokan harinya, 30 peratus berkata mereka akan mengundi untuk BN sementara hanya 1 peratus yang kata akan mengundi DAP.

Kebanyakan orang akan patah hati atau hilang motivasi apabila melihat data seperti itu. Saya begitu optimis kerana saya juga tahu daripada tinjauan itu kira-kira 45 peratus berkata “undi adalah rahsia”. Dalam konteks Malaysia di mana masih ramai yang takut pada kuasa pihak tertentu, kebanyakannya tidak akan memberitahu hal sebenar tentang pendirian politik mereka apabila ditanya.

Namun, yang terjadi adalah mereka yang kata “undi adalah rahsia” kemungkinan besar mengundi untuk saya. Lawan saya, penyandang tiga penggal Chia Kwang Chye, timbalan menteri dan ketika itu merupakan setiausaha agung Gerakan, parti yang memerintah Pulau Pinang dari 1969 hingga 2008, menerima 62 peratus undi pada PRU 2004. Namun saya berjaya mengalahkannya dengan 67 peratus undi pada 2008.

Ketika itu saya merupakan pendatang baru politik yang berumur 31 tahun dan tidak begitu dikenali sementara Chia merupakan ahli politik 56 tahun yang merupakan antara yang paling berpengaruh di Pulau Pinang.

Tsunami politik

Ketiga, apabila tsunami politik terjadi, pasukan perayu undi BN pun berkempen untuk DAP!
Salah satu perkara sorotan peristiwa yang saya tidak boleh lupa dalam PRU 2008 adalah apabila bertemu dengan perayu undi MIC di pusat pengundian di Bukit Bendera pada hari mengundi. Susulan kebangkitan Hindraf, pengundi India beralih undi daripada menyokong BN kepada menyokong pembangkang secara beramai-ramai. 

Hal sama terjadi di beberapa pusat pengundian lain: perayu undi MIC menarik saya ke tepi, dan memberitahu bahawa mereka mengundi saya, dan menjelaskan bahawa meskipun mereka memakai jaket dan seragam MIC, mereka membisik kepada pengundi India untuk mengundi DAP.
Kenapa penyertaan rakyat diperlukan?

Jangan pernah anggap penyokong tegar BN akan kekal bersama BN selamanya. Apabila tsunami terjadi, Umno tidak dapat mengenal pasti siapa dari kalangan ahli mereka yang akan memberontak dan tidak mengundi Najib dalam PRU akan datang, sebagaimana yang terjadi kepada pemimpin akar umbi MIC pada 2008.

Yang paling mustahak, dalam pertandingan berat sebelah di Malaysia, satu-satunya cara untuk mengalahkan undi Umno BN adalah dengan mendapatkan penyertaan yang ramai daripada rakyat biasa Malaysia melalui kempen bersemuka yang tidak dipacu oleh parti politik semata-mata namun lebih dijana dengan penyertaan rakyat biasa. -Roketkini.com

*Liew Chin Tong merupakan Ahli Parlimen Kluang, Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan dan Pengerusi DAP Johor

Tiada ulasan: