Khamis, 8 Februari 2018

DAP Ada Peluang Rebut Jawatan MB Selangor

 
 



KUALA LUMPUR: Ketegangan yang tercetus antara Parti Amanah Negara (PAN) dengan PKR memberi kelebihan kepada DAP yang sememangnya tidak mahu melihat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kekal sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuan Tat, berkata DAP yang mengetuai pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebenarnya sedang mengulangi ‘skrip’ sama untuk menawan Selangor, sama seperti mereka menguasai Pulau Pinang jika memenangi PRU-14 nanti.

“DAP dengan Azmin tak ngam (sokong) dan bagi PKR pula, mereka tahu kenapa DAP yang sudah ada kerusi, tetapi mahu beri (lebih kerusi) pada PAN. Mereka (DAP) sebenarnya hendak jadikan calon DAP sebagai Menteri Besar.

“Sebab itulah PKR mahu rebut kerusi dan tidak mahu beri terlalu banyak kuasa (kerusi) kepada DAP dan PAN yang akan bergabung jika PH menang PRU-14 seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Isu pembahagian kerusi PH yang diketuai DAP di Selangor ketika ini dilihat semakin panas apabila pemimpin PAN mengingatkan PKR supaya tidak memandai-mandai membuat perancangan sendiri untuk bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-14.

Sebelum ini, Mohamed Azmin menempelak PAN dan menyifatkannya parti penipu serta tidak amanah apabila cuba memutar belit isu pembahagian kerusi DUN Selangor.

Perbalahan antara parti berlarutan apabila Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim pula berkata, sikap Mohamed Azmin seperti ‘badut’ serta tidak layak memegang jawatan Menteri Besar dan Pengerusi PH Selangor.

Mengulas lanjut, Tuan Tat berkata, pertelagahan antara pembangkang dan sekutunya bukan perkara baharu kerana sudah terkenal dengan sikap saling mempergunakan antara satu sama lain untuk kepentingan parti.

“Mereka tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang boleh berkompromi demi negara dan rakyat. Pemimpin pembangkang sebaliknya lebih banyak fikirkan masalah lain daripada masalah rakyat,” katanya –BH

Tiada ulasan: