APABILA Sultan Kelantan
merangkap Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik darjah
kebesaran negeri Kelantan yang membawa gelaran “Datuk” daripada Naib
Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa dan Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk
Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melalui satu surat kelmarin, ia memberi
isyarat jelas kepada AMANAH bahawa parti itu kini berdepan jalan yang
maha sukar untuk ‘menakluk’ Kelantan.
Mana tidaknya, jika hendak dibandingkan
dengan kesemua negeri di Malaysia, Kelantan diyakini bakal menjadi
negeri di mana pertarungan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) dan Parlimen akan dikepalai secara dominan oleh AMANAH,
tidak seperti di kebanyakan negeri yang lain di mana AMANAH hanya
‘menikmati’ sisa-sisa kerusi yang ada.
Tambahan pula, dua individu yang ditarik
darjah kebesaran mereka itu merupakan pemimpin tertinggi AMANAH
Kelantan. Bahkan Husam sendiri selalu disebut-sebut sebagai bakal
menteri besar negeri itu sekiranya PH berjaya menumbangkan kerajaan
negeri pimpinan PAS yang ada pada hari ini.
Umum juga mengetahui, sejak PAS
meninggalkan pakatan pembangkang pada 2015, Husam yang juga merupakan
ADUN Salor kerap bertikam lidah dengan pimpinan kerajaan PAS Kelantan
dan babak seumpama itu acapkali terlihat dalam sidang DUN sejak
kebelakangan ini.
Dalam ‘pertembungan’ ideologi politik
AMANAH dengan PAS, sebahagian besar penyokong tegar PAS khususnya di
Kelantan masih lagi mengingati dengan jelas bagaimana Husam dan parti
Islam itu terlibat dalam satu pertikaian serius mengenai pemilikan tanah
dan bangunan Wisma Tok Guru di Salor. Isu pemilikan tanah tersebut
selesai pada November tahun lalu dengan kemenangan berpihak kepada PAS,
sementara status pemilikan wisma itu pula antara Husam dengan PAS masih
perlu diputuskan oleh proses undang-undang.
Rakyat Berspekulasi
Penarikan balik darjah kebesaran Husam
dan Wan Abd Rahim ini tentu sekali tidak melibatkan sebarang campur
tangan kerajaan negeri mahupun mana-mana pihak luar. Ini kerana soal
pengurniaan pingat ataupun darjah kebesaran adalah hak eksklusif istana,
tidak kiralah di mana-mana negeri beraja atau bersultan sekalipun.
Begitulah juga dalam hal penarikan balik kesemua pingat dan darjah
kebesaran itu yang masih tertakluk di bawah kuasa eksklusif istana.
Maka sebarang persepsi songsang yang
cuba mengaitkan kerajaan negeri Kelantan dengan penarikan balik darjah
kebesaran Husam dan Wan Abd Rahim ini tentu sekali tidak betul dan
menyimpang. Bercakap tanpa sandaran fakta yang sahih sememangnya mudah,
apatah lagi Husam dan Wan Abd Rahim kini berdiri atas kapasiti blok
politik pembangkang di Kelantan.
Hakikatnya, hal penarikan balik darjah
kebesaran ini pernah juga terjadi kepada ketua kerajaan negeri. Pada 22
April 2016, negara dikejutkan dengan pelucutan semua darjah kebesaran
yang dikurniakan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin kepada
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Setelah beberapa
bulan iaitu sekitar awal Disember 2016, akhirnya darjah kebesaran itu
dikembalikan kepada Razif atas perkenan Sultan.
Pada waktu itu, rakyat terus
berspekulasi mengenai apakah sebab sebenar yang mendorong Sultan Mizan
menarik balik darjah kebesaran pada waktu tersebut, sama seperti
spekulasi yang mula timbul sebaik sahaja berita mengenai penarikan balik
darjah kebesaran terhadap Husam dan Wan Abd Rahim mula tersebar
semalam. Namun hakikatnya, pihak istana jualah yang lebih mengetahui
apakah punca sebenar yang mendorong penarikan balik darjah kebesaran
seumpama itu dilakukan, dan apakah pula bentuk tindakan bekas penerima
yang mengundang ‘kemurkaan’ istana, jika ada.
Menteri Besar Tak Jadi?
Apa pun, penarikan balik darjah
kebesaran Husam dan Wan Abd Rahim ini sememangnya tidak dapat tidak
memberitahu rakyat Kelantan bahawa di sana pasti ada tindakan kedua-dua
individu tersebut yang tidak disukai oleh pihak istana. Apabila ia sudah
melibatkan penarikan balik darjah kebesaran, tentulah ‘kesalahan’ itu
sudah sampai ke tahap yang serius.
Lantas ia menimbulkan persoalan dalam
kalangan rakyat Kelantan dan pimpinan PH khasnya; jika belum apa-apa
lagi sudah ‘mencipta’ konflik dengan pihak istana, bagaimana Husam mahu
memimpin kerajaan negeri kelak jika PH terbukti berjaya menawan
Kelantan? Apakah pula bentuk hubungan yang bakal wujud antara kerajaan
pimpinan Husam dengan Istana Kelantan jika negeri itu berjaya mereka
tadbir?
Di Malaysia ini, hubungan baik dengan
istana adalah kunci kepada pentadbiran cemerlang mana-mana kerajaan
negeri sekalipun. Berkonflik dengan istana bermakna mengundang krisis
dengan rakyat. Kerajaan seumpama itu pasti sahaja rapuh dan tidak akan
kekal.
Perkembangan terbaharu ini juga
membangkitkan persoalan serius samada kehadiran PH khususnya AMANAH
benar-benar diterima di Kelantan, dan adakah mereka benar-benar mampu
menembusi benteng kebal PAS menjelang pilihan raya umum (PRU) kelak. PH
kini hanya mempunyai dua kerusi DUN di Kelantan daripada jumlah
keseluruhan 45 kerusi yang ada. Pakatan itu diwakili AMANAH melalui
Husam dan PKR melalui Mohd Roslan Puteh (Guchil).
Husam pula adalah calon menteri besar
yang awal-awal lagi sudah direstui pimpinan PH khususnya Penasihat DAP
Lim Kit Siang jika pakatan itu berjaya menakluk Kelantan kelak. Tetapi
dengan munculnya perkembangan terbaharu ini, impian Husam untuk
mengetuai kerajaan negeri tersebut mungkin terkubur begitu sahaja.
Ketika PH tampak ‘terlalu’ yakin untuk
bertarung dan bersaing dengan PAS di Kelantan pada edisi PRU depan,
pihak istana pula seolah-olah sudah menghantar satu isyarat jelas kepada
rakyat negeri itu mengenai ‘warna’ sebenar Husam, Wan Abd Rahim dan
pimpinan AMANAH secara keseluruhannya. Tentu sahaja ianya membuatkan PH
tersentak daripada lamunan mereka apabila menyedari laluan mereka untuk
menawan Kelantan kini bukan sahaja dihalang oleh pengaruh kuat PAS dan
prestasi meningkat BN, bahkan langkah pakatan itu juga kini seolah-olah
mati apabila institusi tertinggi di Kelantan nampaknya tidak ‘merestui’
pimpinan yang mereka pertaruhkan di negeri tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan