Sabtu, 3 Februari 2018

Akta cegah berita palsu perlu disegerakan, kata Ahmad Maslan

THE NALAYSIAN INSIGHT

Akta cegah berita palsu perlu disegerakan, kata Ahmad Maslan
Ahmad Maslan berkata ini kerana berita palsu disebarkan secara berleluasa terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PENGGUBALAN akta baharu bagi mengekang penyebaran berita palsu di media sosial perlu segera diwujudkan, kata Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) dan Media Sosial Umno Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini kerana berita palsu disebarkan secara berleluasa terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kalau boleh perkara ini dibawa pada sidang Parlimen Mac ini demi kepentingan umum," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Biro IT 4 Peringkat Umno bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Ketereh merangkap Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kok Lanas Md Alwi Che Ahmad.

Ahmad berkata cadangan Perdana Menteri Najib Razak untuk mewujudkan undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu adalah langkah tepat dalam menangani konflik berkenaan.

Perdana menteri pada Ahad lepas berkata kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu yang menjadi ancaman kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Susulan itu, satu jawatankuasa khas telah dibentuk yang dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, badan bukan kerajaan dan anggota Parlimen yang bertanggungjawab mengkaji undang-undang berkaitan dan peruntukan baharu untuk dibawa kepada pertimbangan kabinet.

Menurut Ahmad, pada masa ini sebanyak 43 juta rakyat Malaysia memiliki telefon bimbit manakala 18 juta lagi memiliki akaun Facebook.

Sementara itu, Annuar yang juga ketua penerangan Umno berkata pihak yang tidak menyokong undang-undang mencegah berita palsu adalah mereka yang menyokong penyebaran berita sedemikian di alam maya.

Katanya undang-undang berkaitan perkara itu perlu diwujudkan bagi mengawal situasi media sosial semasa selain sebagai asas tatakelola pentadbiran sesebuah negara.

"Kita tahu pembangkang tidak akan pernah setuju dengan apa-apa cadangan kita kerana mereka khuatir mereka tidak boleh menggunakan kaedah tersebut sebagai senjata terakhir sebelum pilihan raya," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: