SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas segelintir ahli PPBM yang
membuat aduan bersabit mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu, yang
kononnya melanggar perlembagaan parti.
Presiden PPBM itu menegaskan AGM parti yang diadakan pada 30 Disember
lalu mematuhi perlembagaan parti, selain menyifatkan pihak yang membuat
aduan adalah mereka yang tidak faham.
“Rujuk perlembagaan kami, bahagian baru diluluskan kurang setahun, belum genap satu tahun, belum perlu ada mesyuarat agung.
“Mereka yang buat aduan tak faham. Bagaimana boleh ada mesyuarat, belum
satu tahun? Sampai sekarang belum ada satu cawangan yang (berusia) satu
tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat
Pakatan Harapan Johor yang turut disiarkan secara langsung di Facebook,
hari ini.
Sehingga kini beratus aduan dikemukakan oleh ahli PPBM yang
mempersoalkan bagaimana mesyuarat boleh dijalankan sebelum bahagian
parti itu mengadakan mesyuarat masing-masing untuk memilih pemimpin.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim
berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan terhadap semua 249 aduan
yang dikemukakan ahli PPBM setakat ini.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata PPBM sedang mempertimbangkan mengambil
tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada lembaga disiplin untuk
menentukan tindakan terhadap anggota parti yang membuat aduan tersebut.
Muhyiddin dalam masa yang sama mengkritik Timbalan Perdana Menteri yang
juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana campur
tangan dalam proses itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan