TERSEBAR video dalam media sosial berkenaan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) yang memaparkan ratusan murid-murid dan guru-guru mengambil bahagian dalam pertandingan bertemakan “Umno dan Kemerdekaan #Negaraku”. Dalam acara itu, bendera Umno dipasang di seluruh sekolah. Para murid mengibarkan bendera Umno dan menyanyikan lagu parti itu. Terdapat sepanduk “Hidup Umno, Hidup Melayu. Dulu, Kini dan Selamanya” dinaikkan di pentas.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya dijemput sebagai perasmi program. Beliau yang juga adalah Setiausaha Agung Umno pada ucapannya secara terbuka mempelawa para guru menyertai Umno.
Apa yang dikesalkan adalah Umno secara jelas mempergunakan institusi sekolah dan pelajar-pelajar sekolah rendah sebagai alat indoktrinasi terbaru. Pastinya guru-guru juga dipaksa menyanyi dan mengibarkan bendera Umno dalam keadaan terpaksa. Bahkan guru-guru dikempen agar menyertai Umno.
Dalam keadaan mereka melaungkan untuk tidak mempolitikkan institusi pendidikan (termasuk tindakan keras kepada penjawat awam, pelajar dan mahasiswa yang terlibat menyertai parti politik pembangkang sebelum ini), kini mereka pula tanpa segan silu menjadikan sekolah sebagai wadah politik baharu.
Apakah Umno khususnya Datuk Seri Tengku Adnan terlalu terdesak meraih sokongan sehingga menjadikan sekolah sebagai bahan politik meraih undi beliau. Tidak cukupkah alat propaganda Umno melalui Biro Tata Negara (BTN) bermain saraf melalui kem-kem di Institusi Pendidikan Awan dan Swasta (IPTA/S) serta jabatan kerajaan, kini sekolah pula mahu dirasuk? Apakah culaan terkini Umno Putrajaya dalam keadaan tidak selamat dan bakal tumbang sehingga memaksa program indoktrinasi di sekolah dilakukan secara terbuka?
Saya menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah terbabit dan memberi amaran kepada sesiapa juga yang menjadikan sekolah sebagai tempat kempen politik.
Mempolitikkan pelajar dan sekolah dengan aktiviti kempen politik parti adalah kegiatan tidak bermaruah yang boleh mencemar keharmonian dan keamanan rakyat. Sikap seperti ini mewujudkan suasana tidak selesa sehingga menimbulkan bibit perpecahan dalam masyarakat.
Jika Umno berani berterus terang berpolitik di sekolah, sepatutnya ruang politik juga dibuka kepada parti-parti politik lainnya, termasuk PAS.
Selama ini, sekolah-sekolah termasuk guru dan kakitangan yang dianggap mesra PAS sering kali diancam, diugut dan diambil tindakan, selepas insiden ini seharusnya ia tidak menjadi halangan lagi.
Jika PAS seringkali ditohmah memperguna pelajar sekolah, pelajar tahfiz termasuk sekolah, pondok, tahfiz dan lain-lain, dengan kejadian yang berlaku di Putrajaya itu, tohmahan itu tidak patut berlaku lagi.
Semua pihak tidak perlu dikawal dan guru-guru, ibu bapa, mahupun kakitangan bebas memilih wadah sokongan politik mereka tanpa takut.
*DR RIDUAN MOHD NOR, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan