Ahad, 1 Oktober 2017

Punca Putus Hubungan PAS-PKR, Wan Azizah Bidas Presiden PAS





KUALA TERENGGANU: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS yang enggan menjalin kerjasama dengan parti itu ekoran bersama DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah.

Wan Azizah dengan sinis berkata kepada Presiden PAS itu, bahawa pilihan yang dibuat parti itu membuktikan bahawa mereka tidak lagi berpegang kepada objektif menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

“PAS yang kata tidak akan kerjasama dengan kita. Jadi kita atas dasar pakatan, memang tidak ada kerjasama lagi dengan PAS,” kata Wan Azizah ketika ditemui media selepas merasmikan bilik gerakan utama pilihan raya PKR Terengganu di Chabang Tiga di sini, hari ini.

Malam tadi selepas majlis makan malam dan dialog bersama badan bukan kerajaan sempena Fastaqim 2.0, Hadi berkata, PKR dan DAP yang ‘menyingkirkan diri sendiri’ dalam kerjasama yang pernah terjalin dengan PAS sebelum ini.

Malah beliau terus menegaskan bahawa partinya tidak ada masalah bersendirian tanpa kerjasama PKR dan DAP.

Hadi berkata, pakatan DAP-PKR-PPBM-Amanah rugi besar kerana memutuskan kerjasama dengan partinya yang mempunyai 7,000 cawangan di 195 kawasan seluruh negara.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyatakan pakatan pembangkang akan ‘terpelanting’ apabila menyingkirkan PAS daripada kerjasama berkenaan.

Kepada kenyataan itu, Wan Azizah menyifatkan Hadi mungkin tidak sedar kemenangan PAS di banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 adalah kerana bergabung bersama parti pembangkang lain.

“Daripada analisis kita, banyak kerusi dimenangi PAS pada PRU-13 tidak pernah dimenangi parti itu sebelum ini. Banyak kerusi dimenangi PAS juga kerana sokongan pengundi Cina yang menyokong pakatan pembangkang.

“Beliau (Hadi) boleh buat apa sahaja andaian, tetapi semuanya terpulang kepada rakyat untuk membuat pilihan nanti dan akan menentukan siapa menang,” katanya – AP

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: