Sabtu, 7 Oktober 2017

Nazir terkejut, baru tanya dah lulus RM280,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

Nazir


TANJUNG KARANG: Tindakan pantas Nazir Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan, Mohd Ridzuan Osman yang sempat menghulurkan nota dan permohonan sumbangan sebanyak RM280,000 kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada program turun padangnya ternyata berbaloi.

Mohd Ridzuan berkata, hal ini berikutan beliau kemudiannya dikejutkan dengan pengumuman Mohamed Azmin dalam ucapannya bahawa permohonan itu diluluskan dengan serta merta.

“Sejak masjid ini dibina pada 1983, inilah kali pertama pegawai tertinggi Kerajaan Negeri datang ke masjid kami dan paling mengejutkan sekali apabila Dato’ Menteri Besar sendiri mengumumkan permohonan sebanyak RM280,000 diluluskan serta merta sedangkan baru sekejap tadi saya serahkan permohonannya.

“Saya memang tak menjangkakan Dato’ Menteri Besar terus mengumumkan kita dapat RM280,000 yang kita mohon tadi dan bagi pihak jawatankuasa masjid dan kariah di sini kami mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri kerana meluluskan serta merta untuk kerja baik pulih masjid ini,” katanya dengan nada terharu.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini sejurus selesai Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, permohonan itu dibuat bagi membiayai kos baik pulih, pembesaran ruang solat muslimat, membeli permaidani baru dan membina mimbar.

Katanya, selain sumbangan RM280,000 yang baru diumumkan, Masjid Al-Munawarah turut menerima sumbangan bernilai RM20,000 sumbangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang disampaikan pada majlis itu tadi.

Sebelum itu, ketika memberi ucapan, Mohamed Azmin memberitahu beliau meluluskan permohonan sumbangan sebanyak RM280,000 kepada masjid Al-Munawarah selepas berbincang dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

“Sebentar tadi saya tiba, belum sempat saya minum, saya menerima nota daripada Nazir Masjid Al-Munawarah, baca dulu nota – Masjid Al-Munawarah memohon peruntukan RM280,000 untuk menaik taraf dan membaik pulih masjid khususnya membina ruang solat muslimat dan kemudahan permaidani dan mimbar.

“Saya bisik kepada Dato’ Nor Azmie, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, bagaimana? Sebab saya juga perlu dapatkan arahan daripada pegawai. Inilah bezanya Selangor pegawai boleh beri arahan kepada saya dan Dato’ Nor Azmie beritahu, insha allah dengan kedudukan ekonomi Selangor yang kuat dan kukuh saya bersetuju meluluskan permohonan Masjid Al-Munawarah,” katanya.

Pengumuman Mohamed Azmin itu ternyata mendapat tepukan gemuruh kira-kira 500 hadirin majlis yang penuh meriah itu.=EZY=

Tiada ulasan: