Selasa, 10 Oktober 2017

‘Kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah’



‘Kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah’

Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan beer (beer festival – Oktober Fest) oleh orang bukan Islam.

Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk.

Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya.
Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak.

Tetapi bagi saya soal yang timbul ialah kenapa ada anak orang Melayu / Islam yang terlibat dengan dadah. Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah. Apakah ini juga takdir.

Tidak adakah apa-apa yang boleh dibuat untuk menentu anak Melayu / Islam menolak dadah?

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan memperbaiki keburukan yang menimpa manusia melainkan manusia itu sendiri cuba memperbaikinya terlebih dahulu.

Penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini. Tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah.

Jika kerana disemai dengan kawalan diri mencegah yang buruk dan mengamal yang baik (amal ma’aruf nahi mungkar) sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam, kemungkinan perlakuan perkara-perkara yang dilarang akan berkurangan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak ada latihan dan pengajaran secara sistematik dalam bidang ini di sekolah-sekolah.

Ilmu sahaja tidak berguna jika tidak dikawal oleh budaya yang baik. Saya amat malu membaca laporan berkali-kali akan perlakuan yang tidak baik oleh orang Islam, terutama anak muda. Saya berpendapat perkara ini perlu diberi perhatian lebih oleh orang Islam dan bukan melarang orang bukan Islam minum beer.

Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol beer di hadapan pejabat MB, marahlah.

Oktober Fest, perayaan minum beer pada bulan Oktober adalah tradisi budaya orang Jerman.

Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum beer dalam Oktober Fest mereka.

Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer.

Tiada ulasan: